Wednesday, February 3, 2010

Analisis Falsafah Pendidikan Kebangsaan


Disediakan Oleh : Cikgu Where

PENGENALAN

Falsafah pendidikan kebangsaan mempunyai beberapa kategori atau aspek yang penting termasuklah pembentukan, analisis dan implikasi terhadap sistem pendidikan Negara. Dalam pada itu, ideologi kebangsaan termasuklah Rukunegara, Dasar Ekonomi Baru, dan Dasar Pendidikan Kebangsaan dirujuk.

Seperti yang kita sedia maklum, Negara kita Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Justeru itu, agak penting bagi kita mempunyai falsafah pendidikan kita sendiri. Setelah menyedari hakikat tersebut, maka pada tahun 1988, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah digubal berdasarkan dokumen-dokumen dasar dan ideology negara. Kini, FPN dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Secara ringkasnya (FPK) menggariskan segala istilah, pemikiran, dan prinsip berkaitan dengan bidang pendidikan negara di negara kita. Dengan kata lain, ia menggabungkan matlamat, dasar-dasar dan amalan-amalan pendidikan sebagai satu entity keseluruhan yang tekal, jelas dan logik.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan Kebangsaan ialah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta member sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negera.

Idea untuk menggubal FPK telah wujud atau tercetus pada tahun 1979 lagi apabila penerbitan laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran. Laporan tersebut mengandungi beberapa isu penting yang berkaitan dengan pendidikan termasuk prinsip, nilai dan hala tuju pendidikan. Selain itu, laporan itu juga mengemukakan peri pentingnya kita mempunyai suatu falsafah pendidikan yang mementingkan pembangunan kemanusian seperti petikan yang berikut:

“Perkembangan ekonomi pada hari ini adalah pesat. Demikian juga dalam bidang sosial. Kita berhadapan dengan pelbagai unsur dari luar dan dalam. Kebanyakan daripada unsur di dalam adalah baik tetapi, unsur yang didatangkan dari luar, yang tidak menyenangkan. Oleh itu, kita menghadapi satu cabaran lain, iaitu pembangunan kemanusiaan.”(Laporan Kabinet, 1979:226)

“Tenaga rakyat yang diperlukan....juga dari segi nilai-nilai disiplin....perlu jujur dan dedikasi terhadap kerja....boleh berfikir dn bertindak dengan baik....berpandukan kepada punca-punca akhlak yang mulia....perlu selaras dengan tujuan pembangunan manusia.”(Laporan cabinet, 1979:227)

Berdasarkan petikan di atas, kita telah mengetahui bahawa pembangunan manusia yang inginkan oleh kerajaan merangkumi aspek mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Pernahkah anda berfikir apakah kenapa Falsafah Pendidikan kebangsaan ditubuhkan berdasarkan dokumen-dokumen dasar dan ideology negara? Apakah rasionalnya dan apakah dasar-dasar yang membentuk FPK? Antara dasar-dasar yang membentuk FPK ialah Rukunegara, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Rukunegara Malaysia telah ditubuhkan atau diisytiharkan pada hari kemerdekaan negara iaitu 31 Ogos 1957. Rukunegara kita sebenarnya diilhamkan dari sebahagiannya daripada Pancasila negara Indonesia. Tahukah anda bahawa Rukunegara Malaysia juga dikenali sebagai facto Malaysian pledge of allegiance. Terdapat 5 prinsip yang telah membentuk rukunegara Malaysia yang menjadi pegangan rakyat Malaysia sehingga sekarang. Antaranya prinsip-prinsip rukunegara adalah seperti berikut:

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA
mendukung cita-cita hendak:

• Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
• Memelihara satu cara hidup demokratik;
• Mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati
bersama secara adil dan saksama;
• Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai
corak; dan
• Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi
moden.

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip berikut:

• Kepercayaan kepada Tuhan
• Kesetiaan kepada Raja dan Negara
• Keluhuran Perlembagaan
• Kedaulatan Undand-Undang
• Kesopanan dan Kesusilaan.

Adakah anda telah pun menghafal sepenuhnya prinsip-prinsip rukunegara?
Prinsip ini amat lah penting bagi kita rakyat Malaysia bagi menjamin kesejahteraan keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Jikalau kita berpegang teguh terhadap prinsip-prinsip ini, maka kita telah pun seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN FPK


Falsafah Pendidikan Kebangsaan mengandungi idea dan pandangan yang rasional terhadap pendidikan. Fungsi asas falsafah pendidikan ialah memberi panduan dan haluan kepada pakar pendidikan untuk merancang atau mereformasikan sistem pendidikan berlandaskan idea, konsep dan matlamat pendidikan negara kita Malaysia.

Sehubungan ini, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah digubal secara rapi dan teliti oleh pakar-pakar pendidikan dengan mengambil kira seluruh aspek yang berkaitan dengan keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara.Untuk menggubal FPK yang boleh memberi panduan dan bimbingan yang manfaat kepada segala usaha pendidikan, beberapa faktor yang berkaitan hendaklah dipertimbangkan terlebih dahulu. Di antara faktor-faktor( Mok Soon Sang:2000:89) yang mempengaruhi pertimbangan asas semasa menggubal Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah :-


1. Faktor agama yang dianuti oleh rakyat negara (Malaysia)
2. Faktor sosial yang meliputi struktur masyarakat dan kebudayaannya.
3. Faktor politik yang menentukan idealogi negara, dan seterusnya mempengaruhi dasar pendidikan.
4. Faktor ekonomi yang mempengaruhi matlamat pendidikan dalam usaha membawa pembangunan dan kemajuan negara.
5. Faktor individu yang berkaitan dengan keperluan-keperluan asas seperti keselamatan, perkembangan potensi dan penyempurnaan kendiri.
6. Faktor sejagat yang berkaitan dengan pandangan dan visi sedunia, perkembangan pendidikan antarabangsa dan keupayaan warganegara memberi sumbangan ke arah yang dapat membawa persefahaman antarabangsa.

Pengaruh faktor-faktor(Mok Soon Sang:2001:217) tersebut dapat dikesan daripada pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK) yang diturunkan berikut:-


1. Faktor Agama


Agama Islam ialah agama rasmi bagi negara Malaysia.Di samping itu, Agama Kristian, Agama Buddha, Agama Hindu dan sebagainya juga bebas dianuti mengikut undang-undang negara.Agama-agama ini, khasnya agama Islam merupakan faktor-faktor yang penting sebagai pertimbangan asas dalam proses penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK).


2. Faktor Sosial.


Masyarakat Malaysia terdiri daripada berbilang kaum. Keharmonian dan kemakmuran negara bergantung kepada amalan sikap toleransi, bekerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain.Sikap positif ini adalah amat penting dalam usaha mencapai perpaduan kaum yang merupakan kriteria yang paling penting untuk mewujudkan keadaan sosial yang stabil.


3. Faktor Politik


Sebagaimana yang diketahui umum, Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK) digubah berlandaskan kepada ideologi negara yang dicerminkan dalam dokumen-dokumen rasmi seperti Laporan Pendidikan, Rancangan Malaysia dan Rukun Negara. Di dalam usaha membentuk idealogi negara, pengaruh politik memainkan peranan penting dalam penentuan dasar pendidikan negara.Sehubungan ini, matlamat pencapaian perpaduan kaum menjadi pertimbangan asas dalam penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK).


4. Faktor Ekonomi.


Rakyat Malaysia yang terlatih dalam pelbagai kemahiran dapat membantu negara memperkembang ekonomi dengan meningkatkan daya pengeluarannya.Cita-cita memperkembangkankan ekonomi Malaysia telah menjadi salah satu matlamat pendidikan negara yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK).


5. Faktor Individu


Potensi Individu dapat dikembangkan melalui proses pendidikan. Potensi individu ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani,emosi dan jasmani. Insan yang seimbang dan harmonis sentiasa mengamalkan sikap bersyukur, sentiasa menikmati ketenteraman jiwa serta bersedia menghadapi cabaran hidup dengan tenang. Ini merupakan pernyataan utama dalam kandungan FPK.


6. Faktor Sejagat


Penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK) pula tidak terpisah daripada pengaruh perkembangan sistem pendidikan antarabangsa.Sehubungan itu, idea-idea yang dihasilkan daripada seminar pendidikan antarabangsa pula membawa pengaruhnya ke atas Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK).Faktor sejagat yang berkaitan dengan pendangan dan visi sedunia, perkembangan pendidikan antarabangsa dan keupayaan warganegara memberi sumbangan ke arah yang dapat membawa persefahaman antarabangsa. Misalnya, program pendemokrasian pendidikan, pensarwajagatan pendidikan dan pendidikan seumur hidup yang dirancangkan oleh UNESCO 1980-an.


FAEDAH & PERANAN FPK
  • Sebagai rujukan dan panduan kepada pendidik dalam merancang sistem pendidikan mengikut keperluan semasa dan wawasan yang harus dicapai.
  • Menjadi asas kepada matlamat pendidikan yang harus dituju oleh setiap individu.
  • Menyenangkan setiap individu untuk menjalankan segala aktiviti samada semasa berada di bangku sekolah atau di luar daripada pengajian sekolah.
  • Menyenangkan pihak guru dan ibu bapa untuk mengawal anak-anak mereka daripada terdedah kepada tingkah laku buruk atau perbuatan yang merugikan.
  • Melahirkan insan atau generasi baru yang lebih bertanggungjawab kepada ibu bapa, masyarakat, agama dan negara yang dicintai iaitu berdasarkan kepada amalan prinsip rukunegara dan sistem demokrasi.
  • Mewujudkan masyarakat baru yang berkemahiran, maju dan sedia berkorban untuk memajukan negara, iaitu mengikut kemampuan masing-masing.
  • Membolehkan setiap individu menikmati pelbagai kemudahan asas melalui perlaksanaan dalam amalan pendemokrasian pendidikan.
  • Mewujudkan perpaduan rakyat melalui sistem pendidikan yang sama.
  • Membolehkan setiap individu mendapatkan peluang-peluang yang lebih luas

MATLAMAT PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Ke arah melahirkan insan yang baik dan sempurna dengan memiliki serta menghayati ciri-ciri berikut :
  • Percaya dan patuh kepada Tahun
  • Berilmu pengetahuan
  • Berakhlak mulia
  • Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat,agama dan negara.
  • Berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.
  • Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu

Selain daripada perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan seimbang, adalah diharapkan juga melalui proses pendidikan, Malaysia dapat mencapai matlamat pendidikannya, iaitu :

  • Melahirkan rakyat yang bertangungjawab dan boleh memenuhi kewajibannya sebagai seorang warganegara
  • Menghasilkan rakyat yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkannya berupaya melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna, demi memberikan sumbangan terhadap kemajuan dan pembangunan
  • Melahirkan rakyat yang boleh memahami dan menerima serta mengamalkan prinsip-prinsip dan cita-cita demokrasi mengikut perlembagaan
  • Melahirkan rakyat yang taat setia kepada Raja dan cinta kepada Negara
  • Melahirkan rakyat yang memahami serta mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara, dan bersikap toleransi, demi wujudnya perpaduan rakyat berbilang kaum
  • Mengurangkan jurang perbezaan antara kaum dengan membekalkan kemudahan-kemudahan asas pendidikan kepada golongan yang kurang berada.

UNSUR-UNSUR & HURAIAN FPK


Memperkembangkan Potensi Individu


Potensi ini ialah bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh seseorang individu
semenjak ia dilahirkan. Bakat dan kebolehan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani dan emosi, dan jasmani yang merupakan anugerah Tuhan. Bakat-bakat ini perlu dicungkil, diperkembangkan dan dipertingkatkan secara berterusan.

Menyeluruh dan Bersepadu


Kesemua bakat dan kebolehan yang ada pada diri individu hendaklah dikembangkan secara optimum. Pengembangan itu pula
hendaklah dilakukan zecara tergabung dan saling berkaitan di antara satu sama lain.

Insan yang Seimbang dan Harmonis

Manusia yang semiliki sahsiah yang sepadu apabila semua potensi dirinya dikembangkan secara selaras, menyeluruhdan harmonis.Ia menjadi insan yang sentiasa bersyukur, bersedia menerima segala ujian dan cabaran hidup serta sentiasa berikhtiar untuk mengatasi segala masalah yang dihadapi dengan tenang. Oleh kerana itu ia dapat menikmati ketenteraman dan ketenangan jiwa. Keseimbangan dan kesejahteraan yang dimiliki bukan sahaja bermanfaat pada dirinya, malahan ia tercermin dalam hubunganya dengan orang lain, dengan alam sekitaran dan dengan Maha Pencipta. Perhubungan-perhubungan ini tidak dihadkan oleh batas sempadan negaranya sahaja, malah ia menjangkau ke peringkat dunia dan antarabangsa

Unsur Intelek


Unsur Intelek mengandungi aspek-aspek berikut:

  • Hikmah iaitu ilmu yang boleh membawa kepada kemakmuran
  • Daya pemikiran yang kreatif dan inovatif
  • Daya pemikiran yang logik dan analitis
  • Ilmu yang bermanfaat.

Unsur Rohani dan Emosi


Unsur-unsur rohani dan emosi merangkumi aspek-aspek berikut :

  1. Keyakinan terhadap Tuhan
  2. Kepercayaan beragamaKemantapan jiwa
  3. Penghayatan nilai-nilai murni dan norma masyarakat
  4. Berbudi pekerti mulia
  5. Berbakti dan berkorban

Unsur Jasmani


Ciri-ciri unsur jasmani ialah :

  • Kecergasan fizikal dan kesihatan diri
  • Dapat menggunakan anggota dan tenaga fizikal sendiri untuk berdikari dan hidup bermasyarakat.

Kepercayaan dan Kepatuhan Kepada Tuhan


Usaha-usaha ke arah ini dapat melahirkan individu yang yakin bahawa manusia dan alam tidak terjadi secara tersendiri tetapi ada Penciptanya. Keyakinan ini pula menguatkan kepercayaan bahawa hukum-hukum alam adalah hukum-hukum Tuhan dan manusia dianjurkan mengkaji fenomena alam. Manusia juga dituntut memikul amanah dan bertanggungjawab kepada Tuhan dalam mentadbir dan memakmurkan alam.


Rakyat Malaysia yang Berilmu Pengetahuan

Masyarakat Malaysia yang berilmu pengetahuan memiliki sikap suka membaca serta cintakan ilmu pengetahuan. Manusia yang memiliki sifat-sifat ini akan menggunakan ilmu tersebut untuk manfaat diri dan orang lain. Ini bermakna setiap individu mesti berusaha untuk menghayati prinsip pendidikan sepanjang hayat.

Rakyat Malaysia yang Berakhlak Mulia


Masyarakat Malaysia yang baik budi pekertinya memiliki tingkah laku yang sopan, berdisiplin dan bersepadu. Sifat-sifat mulia ini terbentuk dari dalam diri setiap rakyat. Sifat-sifat mulia ini juga mesti berteraskan ilmu,
keyakinan dan amalan.

Rakyat Malaysia yang Bertanggungjawab

Masyarakat Malaysia yang berpegang teguh kepada amanah dan mempunyai tanggungjawab yang tinggi terhadap Tuhan, bangsa dan negara. Masyarakat ini adalah masyarakat yang produktif, bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasnya dengan cekap, bersih dan amanah.

Rakyat Malaysia yang Berkeupayaan Menikmati Kesejahteraan Diri


Masyarakat Malaysia yang memiliki jiwa yang damai dan tenteram. Ini membolehkan setiap individu memperkembang dan memanfaatkan seluruh potensi dirinya bagi memenuhi
keperluan sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Rakyat Malaysia yang Dapat Memberi Sumbangan


Masyarakat Malaysia yang terlatih dalam pelbagai kemahiran bagi melahirkan tenaga manusia yang produktif, berinisiatif dan berinovatif untuk mentadbirkan alam. Masyarakat ini mampu menggunakan teknologi dengan cekap bagi mempertingkatkan daya pengeluaran ke arah pembangunan Negara.


Keharmonian dan Kemakmuran Masyarakat dan Negara


Masyarakat Malaysia yang mengamalkan sikap toleransi di antara satu sama lain, bekerjasama, hormat-menghormati dan mencapai perpaduan kaum. Dengan adanya perpaduan muncul keadaan yang aman, tenteram dan stabil. Suasana yang sihat dan positif membantu dan menjamin perkembangan ekonomi dan kemajuan di dalam semua bidang kehidupan.


IMPLIKASI FPK TERHADAP SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

1. IMPLIKASI TERHADAP KURIKULUM

KBSR dan KBSM adalah hasil perubahan yang diaspirasikan dalam FPK. Antara perubahan-perubahan yang jelas ialah:
  • Sukatan pelajaran yang digubal memberi penekanan kepada aspek kesepaduan dan kesinambungan. Oleh itu konsep-konsep seperti penggabungjalinan (penyatuan kemahiran-kemahiran) dan penyerapan (penyatuan isi) sentiasa dititikberatkan.
  • Penekanan baru diberi kepada penerapan nilai-nilai murni. Ia seharusnya diserapkan dalam setiap matapelajaran yang di ajar di sekolah.
  • Program pendidikan disusun agar dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
  • Program pendidikan yang menitikberatkan pendidikan umum diperkenalkan
  • Penekanan diberikan kepada pendidikan teknik dan vokasional
  • Penekanan juga diberikan kepada bahasa merentasi kurikulum
  • Pemupukan budaya sains dan teknologi terus ditekankan
  • Pemupukan budaya keusahawanan dan budaya niaga ditegaskan
  • Pengukuhan dan perluasan bahasa Melayu sebagai satu cabang ilmu pengetahuan
  • Peningkatan pendedahan dan penguasaan bahasa Inggeris
  • Penekanan kepada melahirkan individu yang berkeyakinan diri dan bersikap berdikari.

2. IMPLIKASI TERHADAP PENDIDIK

Perubahan sikap pendidik dan profesionalnya untuk menjalankan tugas sejajar dengan tujuan dan dasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ini meliputi:

  • Perubahan sikap peribadi pendidik sendiri dengan pandangan dan visi yang positif terhadap tugasnya untuk merealisasikan tujuan dan cita Falsafah Pendidikan Kebangsaan
  • Perubahan profesional dengan mengubah strategi dan teknik pengajarannya yang sesuai untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, berketerampilan serta berakhlak mulia.

3. IMPLIKASI TERHADAP INSTITUSI PENDIDIKAN


Perubahan organisasi sekolah ke arah mewujudkan situasi yang sesuai untuk melahirkan pelajar-pelajar mengikut tujuan dan cita FPK. Ini meliputi :
  • Perubahan kemudahan-kemudahan supaya pelajar-pelajar mendapat peluang mengembangkan potensi mereka dari segi intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani, secara menyeluruh dan seimbang
  • Perubahan aktiviti budaya sekolah yang kondusif untuk memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa pelajar.

PENUTUP

FPK adalah teras kepada sistem pendidikan di negara ini. Falsafah ini digubal di atas kesedaran bahawa negara mesti mempunyai tuju hala dan matlamat yang benar dan tepat di dalam sistem dan rancangan pendidikannya. Selaras dengan Rukunnegara, falsafah pendidikan ini turut menekankan prinsip kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Malah keseluruhan Falsafah Pendidikan Negara adalah berpaksikan keTuhanan.

Falsafah Pendidikan ini dimanifestasikan dalam diri insan yang memiliki ciri-ciri baik, seimbang dan harmonis. Dalam konteks yang lebih luas, insan yang baik, seimbang dan harmonis mencerminkan individu yang berilmu pengetahuan, luhur dan mulia dari segi rohani, sihat dan bersih dari segi mental dan fizikal serta dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

1 comment:

  1. ASSALAMUALAIKUM.ILMU IBARAT AKAR YANG SARAFNYA MENJALAR HINGGA KE PUCUK.SAYA ADA MENGAMBIL SEDIKIT PUCUK ILMU SAUDARA.T. KASIH.

    ReplyDelete