Monday, October 11, 2010

Perbezaan Individu

Definisi Perbezaan Individu:

Menurut Borich dan Tombari (1997), perbezaan individu ialah:

“Individual differences are the variations we observe among members of any group in a particular characteristic, such as temperament, energy level, friendship patterns and parent-child attachment”

Henson dan Eller (1999), dalam bukunya Educational Psychology for Effective Teaching, pula menerangkan perbezaan individu merujuk kepada ciri-ciri atau sifat-sifat manusia yang mempunyai potensi sama ada memajukan keupayaan seseorang (contohnya seperti optimistik, sentiasa berani mencuba) atau membataskan keupayaan seseorang untuk belajar dalam persekitaran sekolah (contohnya seperti takut melakukan kesilapan, takut bertanya).

Daripada definisi di atas, dapat dirumuskan bahawa perbezaan individu adalah variasi yang boleh diperhatikan di kalangan ahli-ahli satu kumpulan. Perbezaan individu itu dapat dilihat berdasarkan ciri-ciri tertentu, iaitu temperamen, tahap tenaga, pola persahabatan dan hubungan ibu bapa dengan anak¬-anak, dan sifat-sifat manusia yang mempunyai potensi untuk memajukan keupayaan atau membataskan keupayaan seseorang dalam melakukan sesuatu.

Aspek-Aspek Perbezaan individu:

Menurut Papalia (2001), manusia berbeza dari segi jantina, ketinggian, berat, dan bentuk tubuh badan; dalam hal-hal lain seperti kesihatan dan tahap tenaga; dan ciri-ciri personaliti serta reaksi emosi.
Slavin (1997) pula lebih menumpukan perhatian kepada perbezaan individu dalam konteks pengajaran dan pembelajaran. Beliau mengatakan kepelbagaian pelajar terdapat dalam tahap prestasi, kadar belajar, gaya kognitif atau gaya pembelajaran, etnik, budaya, kelas sosial, bahasa di rumah, jantina, bakat dan minat.

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, dapat dirumuskan bahawa aspek-aspek perbezaan individu adalah seperti berikut:
1. Jantina
2. Fizikal
3. Kognisi
4. Personaliti
5. Gaya Kognitif dan Gaya Belajar
6. Kesihatan
7. Sosial
8. Bangsa/Bahasa

Faktor-Faktor Mempengaruhi Perbezaan Individu:

Faktor-faktor yang menyebabkan perbezaan individu terbahagi kepada dua faktor yang besar, iaitu faktor baka dan persekitaran. Faktor-faktor ini dijelaskan dalam bahagian berikut.

1. Faktor Baka
Setiap orang mewarisi sifat-sifat tertentu melalui pewarisan gen atau baka daripada kedua-dua ibu bapanya seperti paras rupa, tahap kecerdasan, temperamen, tahap aktiviti, tret personaliti, gaya bahasa, gaya hidup, sikap dan minat. Antara contoh pewarisan baka ialah warna mata.

2. Faktor Persekitaran
Persekitaran bermaksud individu dan objek yang ditemui serta peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seseorang yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan dirinya. Persekitaran yang mempengaruhi seseorang individu termasuklah perapatan (attachment) individu dengan kedua orang ibu bapanya melalui asuhan dan interaksi, pengaruh adik-beradik, ahli keluarga lain, guru, kawan-kawan, bahan-bahan media cetak dan media elektronik serta bahan daripada komputer. Persekitaran juga meliputi lokasi tempat tinggal seseorang, masyarakat di sekelilingnya dan rumah ibadat.

Menangani Masalah Perbezaan Individu dalam Konteks Sekolah:

Guru boleh menangani masalah perbezaan individu dengan menitikberatkan atau memberi pertimbangan kepada aspek-aspek tertentu semasa merancang atau melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Aspek-aspek tersebut termasuklah:

1. Memahami perbezaan murid
Penting untuk guru memahami perbezaan murid dari segi fizikal, mental dan emosi. Pemahaman seperti ini adalah amat penting kepada guru agar dapat memberi layanan yang sewajarnya kepada murid-murid. Ini dapat mengelakkan guru bersikap pilih kasih.

2. Memahami tingkah laku murid
Guru perlu memahami tingkah laku muridnya agar persefahaman dan perhubungan yang baik di antara murid dan guru dapat dicapai. Guru akan bersifat lebih bertimbang rasa dan bersimpati dengan murid setelah memahami tingkah laku, kebolehan serta minat murid yang berbeza. Dengan itu guru dapat merancang aktiviti yang dapat membentuk tingkah laku yang diingini dengan memberi bimbingan yang sewajarnya.

3. Meramal tingkah laku murid
Meramal atau menelah gerak balas dan tingkah laku yang mungkin timbul dalam sesuatu situasi adalah penting. Sebagai contoh, jika terdapat seseorang murid hiperaktif di dalam kelas yang hendak diajar, apa agaknya perilaku yang mungkin timbul semasa guru mengajar? Bagaimana cara guru mengatasi masalah tersebut? Apa reaksi murid-murid lain yang mungkin tergolong dalam kumpulan introvert? Persoalan-persoalan ini mungkin dapat diandaikan dan dijawab oleh guru sebelum merancang pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

4. Perbezaan Gaya Kognitif dan Gaya Belajar
Setelah beberapa bulan seseorang guru itu mengajar di sesebuah kelas, dia akan dapat mengesan gaya kognitif dan gaya belajar pelajar-pelajarnya yang berbeza¬beza. Ada yang suka belajar menggunakan audio, ada yang visual, ada yang memproses maklumat secara global dan ada yang secara analitikal. Ini perlu difahami supaya guru dapat menyediakan bahan-bahan pembelajaran yang bersesuaian.

5. Penetapan objektif pengajaran dan pembelajaran
Oleh kerana tahap kecerdasan berbeza di kalangan pelajar, dalam merangka objektif pengajaran dan pembelajaran, guru harus mengambil objektif yang sesuai dengan pelajar. Guru juga perlu menyediakan latihan atau aktiviti yang berbeza untuk kumpulan yang berbeza keupayaan, supaya pelajar yang lambat tidak terus tertinggal dan yang pandai tidak berasa bosan.

6. Pendekatan, strategi, kaedah dan teknik
Guru perlu menggunakan strategi dan pendekatan yang sesuai seperti aktiviti kumpulan, untuk melayan pelajar yang berbeza. Aktiviti berkumpulan sangat sesuai dilaksanakan kerana pelajar di dalam sesebuah kelas berbeza dari segi keupayaan. Dengan melakukan aktiviti secara kumpulan, pelajar yang cerdas boleh membantu pelajar yang lemah.

7. Mempelbagaikan Bahan Bantu Mengajar
Guru perlu menggunakan pelbagai bahan bantu mengajar. Bahan-bahan itu pula mestilah bersesuaian dan boleh digunakan oleh semua murid. Guru perlu mengelakkan pengunaan bahan yang sesetengah pelajar tidak dapat menggunakannya.

8. Menyediakan program pemulihan dan pengayaan
Guru perlu merancang dan mengadakan program pemulihan untuk membantu mereka mengatasi masalah pembelajaran yang dihadapi supaya masalah pembelajaran tidak berhimpun sehingga ke peringkat yang tidak boleh dipulihkan lagi. Manakala bagi murid yang cerdas pula, program pengayaan yang pelbagai perlu diberikan supaya mereka tidak bosan pembelajaran.

9. Merancang Aktiviti alternatif
Adakalanya guru beranggapan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dirancang itu amat sesuai dan bertepatan dengan objektif yang hendak dicapai. Namun semasa melaksanakannya, guru mendapati kaedah atau teknik, strategi, serta pendekatan yang digunakan kurang sesuai dengan sesetengah murid-muridnya. Keadaan ini akan menyebabkan guru menjadi serba salah dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tetapi jika guru telah merancang aktiviti alternatif selain daripada apa yang terdapat dalam rancangan pengajaran, dia boleh melakukan pengubahsuaian serta merta mana-mana yang perlu.

10. Sentiasa bertolak ansur
Guru harus memahami bahawa setiap pelajar itu unik dan berbeza-beza. Oleh itu guru juga haruslah sentiasa bertolak ansur dengan para pelajarnya dalam apa jua keadaan. Misalnya, guru telah merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang difikirkan paling bersesuaian setelah mempertimbangkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, namun masih ada muridnya yang tidak dapat mencapai objektif pelajaran atau yang lebih teruk lagi ada di kalangan pelajar ekstrovert yang menimbulkan gangguan semasa guru melaksanakan pengajaran itu. Jika berhadapan dengan perkara ini, guru haruslah bersabar melayani karenah anak muridnya.

No comments:

Post a Comment