Friday, October 1, 2010

MOTIVASI DAN PEMBELAJARAN

1.0 JENIS DAN PENDEKATAN MOTIVASI

Bahagian ini membincangkan definisi motivasi, jenis-jenis motivasi dan pelbagai pendekatan untuk memahami motivasi dan pengaruhnya dalam usaha memahami proses pengajaran dan pembelajaran pelajar.

1.1 Definisi Motivasi

Secara umumnya pengertian konsep motivasi dapat dijelaskan sebagai keadaan dalaman diri yang membangkit, menguasai dan mengekalkan sesuatu tingkah laku dalam diri seseorang itu (Woolfolk, 1998). Apabila membincangkan konsep motivasi, ahli Psikologi memberi fokus kepada beberapa persoalan asas (Graham & Weiner, 1996; Pintrich, Marx, & Boyle, 1993) seperti berikut:

· Bagaimanakah pemilihan ke atas sesuatu itu dibuat yang kemudiannya menentukan tingkahlaku? Sebagai contohnya mengapakah sebahagian daripada pelajar memilih untuk belajar, dan dalam masa yang sama ada pula yang memilih untuk menonton tv?

· Apabila seseorang itu telah mengambil keputusan untuk membuat sesuatu, berapa lamakah masa yang diambil untuk memulakannya? Mengapakah ada pelajar yang terus bertindak apabila telah membuat keputusan untuk belajar, tetapi ada pula yang menangguh tindakan setelah membuat keputusan?

· Apakah tahap penglibatan, atau kesungguhan seseorang pelajar itu dalam melaksanakan aktiviti yang telah dipilih? Adakah pelajar memberi konsentrasi sepenuhnya atau sebaliknya buat sambil lewa sahaja?

· Apakah yang menyebabkan seseorang pelajar itu terus berusaha dan yang lain pula mudah menyerah kalah?

· Apakah yang dirasa dan difikirkan semasa seseorang itu sedang belajar? Adakah dia merasa tenang dan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang sedang dipelajarinya, atau lebih banyak memikirkan tentang masalah kewangannya yang belum juga dapat diselesaikan itu?

1.2 Konsep dan Jenis Motivasi: Motivasi Intrinsik dan Ekstrinsik

Apakah perkara yang menggerak dan menentukan tingkah laku seseorang itu? Antara traits yang selalu dikaitkan dengan konsep motivasi ialah : Keinginan (drives), keperluan (needs), insentif, rasa takut (fears), matlamat (goals), tekanan sosial (social pressure), kepercayan diri (self-confidence), minat (interests), rasa ingin tahu (curiousity), kepercayaan (beliefs), nilai (values), pengharapan (expectations), dan berbagai lagi.

Konsep motivasi juga dapat dijelaskan berdasarkan ciri-ciri individu atau traits. Sebagai contohnya, ada pelajar yang bertindak melakukan sesuatu disebabkan keinginan yang tinggi untuk berjaya; tetapi ada pula yang bertindak disebabkan takut untuk gagal; mungkin juga mereka bertindak kerana minat yang sangat mendalam dalam perkara itu, dan mungkin pula semata-mata disebabkan rasa bertanggung jawab kepada kedua ibubapa yang menaruh harapan begitu tinggi terhadap mereka.

Ada pula ahli Psikologi yang berpendapat bahawa konsep motivasi dirujukkan kepada keadaan diri seseorang buat masa itu sahaja. Sebagai contoh, semua pensyarah yang mengikuti kelas psikologi berusaha memberi sepenuh perhatian terhadap kuliah hari itu kerana mereka tahu apa yang diajar penting untuk ujian kenaikan pangkat. Pada dasarnya, motivasi yang terbentuk pada sesuatu ketika itu adalah gabungan antara traits diri dan keperluan pada masa itu. Persoalan yang boleh diajukan kepada diri sendiri: Adakah saya berada dalam bilik kuliah hari ini disebabkan saya menghargai ilmu, atau adakah kerana saya perlu menduduki ujian?

Satu kesimpulan boleh dibuat bahawa motivasi bergantung kepada dua faktor, iaitu faktor dalaman dan faktor luaran yang masing-masing dikenali sebagai motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik.

a) Motivasi Intrinsik

Jenis motivasi ini dikaitkan dengan faktor dalaman diri seperti keperluan, minat, rasa ingin tahu, dan rasa kepuasan diri. Jenis motivasi ini dikenali sebagai motivasi dalaman (intrinsik). Ia juga merupakan ciri semula jadi manusia, atau tabii manusia, untuk cuba mengatasi segala cabaran dalam proses mendapatkan sesuatu yang diingininya (Reeve, 1996). Apabila seseorang itu mempunyai keinginan yang intrinsik, dia tidak memerlukan apa-apa insentif atau hukuman untuk melakukannya kerana aktiviti itu sendiri sudah dapat memenuhi kepuasan dan keperluan dalaman individu itu. Mengikut Raffini (1996), motivasi intrinsik merupakan ‘…what motivates us to do something when we don’t have to do anything (p.3).’

b) Motivasi Ekstrinsik

Jenis motivasi ini dikaitkan dengan faktor luaran diri atau faktor persekitaran seperti hadiah atau ganjaran, tekanan sosial, hukuman, dan lain-lain. Jenis motivasi ini dikenali sebagai ekstrinsik atau motivasi luaran. Motivasi ekstrinsik adalah berlawanan dengan motivasi intrinsik di mana aktiviti yang dibuat adalah bertujuan untuk mendapatkan ganjaran, atau untuk dipuji, atau untuk mengelak daripada hukuman, atau untuk mendapatkan perhatian seseorang yang disayangi, atau apa sahaja sebab selain daripada untuk pemenuhan kendiri. Hakikatnya seseorang itu tidak sebenarnya berminat untuk melakukan aktiviti itu, tetapi sebaliknya semata-mata untuk mendapat ganjaran.

1.2.1 Bagaimanakah Kita Dapat Membezakan Antara Kedua-Dua Jenis Motivasi Ini?

Pada dasarnya tidak mungkin kita dapat membezakan kedua-dua jenis motivasi ini hanya dengan melihat kepada tingkahlaku. Sebaliknya kita boleh memahaminya dengan mencuba melihat dari aspek sebab mengapa seseorang itu melakukan perbuatan itu, yang dikenali sebagai lokas sebab-musabab (locus of causality). Jikalau seseorang itu sentiasa berada di perpustakaan kerana minatnya yang suka membaca, maka dikatakan dia mempunyai lokas sebab-musabab dalaman, iaitu motivasi dalaman. Sebaliknya jikalau dia berada di perpustakaan kerana satu-satunya cara dia boleh bersama kawannya, maka kita boleh buat kesimpulan bahawa faktor luaran yang mempengaruhinya berada di perpustakaan dan ini dikenali sebagai lokas sebab-musabab luaran, atau motivasi ekstrinsik.

1.2.2 Bagaimanakah Kita Dapat Mengenalpasti Samaada Lokas Sebab-Musabab Kita Berbentuk Dalaman Atau Luaran?

Dalam proses menjawab soalan ini, kemungkinan besar kita akan menyedari bahawa pada dasarnya dikotomi antara motivasi intrinsik dan ekstrinsik ini adalah tidak begitu jelas – iaitu setiap aktiviti tidak akan berlandaskan sepenuhnya kepada motivasi intrinsik atau sepenuhnya kepada motivasi ekstrinsik. Sebagai contoh, seorang mahasiswa bidang perubatan menghabiskan beberapa jam belajar anatomi dengan tekunnya walaupun dia tidak begitu meminati kursus ini. Adakah mahasiswa ini belajar disebabkan motivasi intrinsiknya untuk mendapatkan ilmu, atau sebaliknya motivasi ekstrinsik untuk mendapatkan ijazah? Jawapannya adalah kedua-duanya. Mahasiswa ini telah menerima tekanan luar, iaitu dia perlu belajar untuk lulus kursus anatomi jikalau dia mahu dapat ijazah dalam bidang perubatan, dan dalam masa yang sama dia belajar adalah secara sukarela kerana keinginannya untuk berjaya. Dengan perkataan lain, mahasiswa ini telah menjadikan faktor luaran sebagai faktor dalaman untuk berjaya (internalized an external cause).

Dalam bilik kuliah peranan kedua-dua motivasi intrinsik dan ekstrinsik adalah penting. Persoalannya, bagaimanakah seorang pensyarah dapat menanamkan motivasi intrinsik dalam diri pelajar melalui pengajarannya? Jawapannya ialah dengan menjadikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran lebih menarik, iaitu dengan cara menggerakkan keinginan untuk mengetahui dan menjadikan mereka merasa lebih kompeten dalam proses pembelajaran; dan dalam masa yang sama menjadikan motivasi ekstrinsik (seperti usaha yang lebih akan lulus dengan gred cemerlang) menyokong pembelajarannya dalam usaha mendapat keputusan yang cemerlang (Brophy, 1988; Ryan & Deci, 1996).

1.3 Pendekatan Dalam Kajian Motivasi

Terdapat pelbagai teori dan kajian untuk membincangkan konsep motivasi. Ada kajian yang dibuat dalam makmal dengan menggunakan binatang; ada pula kajian yang dibuat ke atas manusia dalam makmal atau klinik psikologi. Perbincangan di sini akan hanya memfokaskan kepada kajian yang boleh diaplikasikan kepada pembelajaran dalam bilik kuliah.

Terdapat EMPAT pendekatan utama dalam mengkaji konsep motivasi:

  • Pendekatan Behaviourisme atau Tingkahlaku
  • Pendekatan Humanistik atau Kemanusiaan
  • Pendekatan Kognitivisme
  • Pendekatan Pembelajaran Sosial

a) Motivasi dan Pendekatan Behaviuorisme atau Tingkahlaku

Dalam pendekatan ini, konsep motivasi dikaitkan secara jelas dengan prinsip ganjaran dan peneguhan.Tingkahlaku yang telah diberikan peneguhan pada masa yang lalu diandaikan lebih berkemungkinan diulangi berbanding dengan tingkahlaku yang tidak diberikan peneguhan atau yang telah dikenakan hukuman.

Dalam pendekatan ini, soalan-soalan yang selalu ditanyakan adalah seperti berikut: Mengapakah ada di kalangan mahasiswa yang semakin tercabar dan semakin gigih berusaha apablia menghadapi kegagalan, tetapi sebaliknya ada pula yang terus merasa kecewa dan mengundur diri? Mengapakah pula ada di kalangan mahasiswa yang berusaha keras hanya semata-mata untuk memenuhi harapan kedua ibu bapa, dan ada pula yang belajar semata-mata kerana minat terhadap mata pelajaran itu? Mengapakah ada mahasiswa yang berjaya mencapai kejayaan lebih baik daripada jangkaan kemampuannya, dan ada pula yang sebaliknya?

Untuk memahami persoalan seperti ini, ahli-ahli kaji behaviourisme menerangkan motivasi melalui konsep ‘peneguhan/ganjaran’ dan ‘insentif’. Ganjaran ialah objek atau situasi yang menarik yang diperolehi hasil daripada sesuatu perbuatan atau tingkahlaku. Insentif pula ialah objek atau situasi yang menggalakkan atau tidak menggalakkan tingkah laku itu diulang. Sebagai contoh, janji untuk memberi Sijil Dekan kepada mahasiswa yang berusaha dengan gigih dan mendapat PNGK 3.5 ke atas adalah satu insentif kepada pelajar. Mendapat gred A juga adalah merupakan satu ganjaran dari usaha yang gigih. Oleh itu dari kacamata ahli behaviourisme, bagi memahami motivasi mahasiswa untuk mencapai gred cemerlang, maka perlulah dibuat satu analisis yang teliti berkenaan dengan sistem insentif dan ganjaran yang terdapat dalam masyarakat, sebagai contoh, kaitan antara peluang kerjaya dengan pencapaian akademik yang cemerlang.

Seterusnya, jikalau kita secara konsisten memberi ganjaran kepada sesuatu tingkahlaku yang diharapkan, dengan secara tidak langsung kita akan membentuk kebiasaan dalam diri pelajar untuk bertindak dengan cara yang tertentu. Sebagai contoh, jikalau mahasiswa-mahasiswa yang aktif dalam bidang sukan diberikan ganjaran dalam bentuk pujian, wang ringgit, privilege, atau kedudukan tertentu kerana peranan mereka sebagai juara sukan di peringkat universiti, maka dengan sendirinya mereka akan berusaha mempergiatkan usahanya dalam bidang sukan berbanding dengan bidang akademik bagi tujuan mendapatkan segala ganjaran itu.

b) Motivasi dan Pendekatan Humanistik

Pendekatan ini juga dikenali sebagai ‘third-force’ di awal tahun 1940an sebagai gerak balas terhadap dua pendekatan yang dominan pada masa itu, iaitu behaviuorisme dan psikoanalisis Freud. Pelopor bidang humanistik seperti Abraham Maslow dan Carl Rogers berpendapat bahawa kedua-dua pendekatan behaviuorisme dan psikoanalisis tidak dapat menerangkan dengan sepenuhnya mengapa seseorang itu bertindak.

Pendekatan humanistik mencuba menunjukkan bahawa keinginan intrinsik seseorang itu adalah digerakkan oleh keperluan untuk mencapai “self-actualization” (Maslow, 1968, 1970), “inborn actualizing tendency” (Rogers & Freiberg, 1994), atau keperluan kepada “self-determination” (Deci, Vallerand, Pelletier, & Ryan, 1991).

Pada dasarnya teori ini berpegang kepada kepercayaan bahawa manusia dilahirkan dengan keinginan untuk berusaha memenuhi potensi yang ada pada mereka. Dalam pendekatan ini, memotivasikan pelajar adalah bermakna memberi ransangan kepada resos dalaman yang ada pada setiap orang, iaitu antaranya rasa kompeten diri, harga diri, autonomi, dan pemenuhan kendiri. Kajian mendapati pendekatan ini mencuba menonjol ‘self-esteem movement’, iaitu satu pendekatan yang kontroversi dalam memenuhi keperluan pelajar untuk mendapatkan kedudukan sosial melalui persoalan harga diri dan digniti para pelajar.

c) Motivasi dan Teori Kognitivisme

Pendekatan ini mencuba menunjukkan bahawa keinginan mengekalkan imej kendiri adalah merupakan satu kuasa motivasi yang kental. Banyak daripada tingkahlaku kita adalah bertujuan untuk mengekalkan standard yang kita kenakan pada diri kita sendiri. Contohnya jikalau kita merasa diri kita orang yang amanah dan bertanggungjawab, maka kemungkinan besar segala perbuatan kita akan mengambilkira nilai dalam diri kita ini, walau pun dalam keadaan di mana tidak ada seorang pun yang memerhatikan kita, kerana kita mahu kekalkan imej kendiri kita itu. Jikalau kita percaya diri kita cerdik dan berkebolehan tinggi, maka kita akan bertindak cara yang sepatutnya bagi menentukan kita sentiasa dalam keadaan selesa dengan imej kendiri itu. Walau bagaimanapun tidak dinafikan adakalanya dalam keadaan tertentu perbuatan kita bercanggah dengan imej kendiri serta nilai dan kepercayaan kita kerana menjaga sesuatu kepentingan.

Pendekatan ini juga adalah hasil daripada rasa tidak puas hati terhadap pendekatan behavioursme. Ahli-ahli dalam bidang ini percaya bahawa setiap tindakan kita adalah ditentukan oleh pemikiran kita, bukan hanya disebabkan oleh kita diberikan ganjaran atau telah dihukum dengan melakukan perbuatan itu (Schunk, 1996; Stipek, 1993). Setiap tingkah laku yang dibuat adalah hasil daripada perancangan (Miller, Galanter, & Pribram, 1960), matlamat (Locke & Latham, 1990), skema (Ortony, Clore, & Collins, 1988), pengharapan (Vroom, 1964), dan atribusi (Weiner, 1992). Andaian yang dibuat dalam pendekatan ini ialah respon yang diberikan oleh kita bukan disebabkan oleh situasi luaran atau keadaan fizikal tetapi sebaliknya berdasarkan interpretasi ke atas situasi dan kejadian ini. Sebagai contoh, apabila kita begitu terlibat dalam sesuatu projek kita lupa makan, dan tidak pula terasa lapar sehinggalah kita melihat jam pada masa itu. Dalam pendekatan ini manusia dilihat sebagai aktif dan tinggi rasa ingin tahu, dan sentiasa mendapatkan maklumat untuk menyelesaikan persoalan personal yang relevan. Manusia bekerja keras kerana mereka suka bekerja dan kerana mereka ingin memahami apa yang berlaku di sekeliling mereka. Ini bermakna pendekatan kognitif menekankan motivasi intrinsik yang ada dalam diri seseorang itu.

d) Motivasi dan Pendekatan Pembelajaran Sosial atau Teori Personaliti

Pendekatan ini adalah gabungan antara pendekatan behaviourisme dan kognitivisme. Ia mengambilkira penekanan ahli behaviorisme ke atas kesan atau hasil sesuatu tingkahlaku, dan minat ahli kognitif pula ke atas impak hasil dari kepercayaan dan pengharapan seseorang itu. Pendekatan ini boleh diringkaskan sebagai teori ‘pengharapan x nilai’. Ini bermakna bahawa motivasi adalah gabungan antara dua kekuatan, iaitu pengharapan seseorang itu untuk sampai ke matlamat yang ditujunya, dan nilai matlamat itu untuk dirinya. Dengan lain perkataan, persoalan yang mungkin akan ditanya ialah “ Jikalau saya sungguh-sungguh berusaha, bolehkah saya berjaya?” dan “ Jikalau saya berjaya, adakah hasilnya akan membawa kebahagiaan kepada kehidupan saya?”. Di sini, motivasi dilihat sebagai gabungan antara dua elemen penting, iaitu ‘kejayaan’ dan ‘kebahagiaan hidup’, dan jikalau salah satu daripadanya tidak ada, maka kemungkinan besar motivasi untuk berusaha mencapai matlamat itu akan menjadi lemah dan tidak signifikan lagi.

2.0 MATLAMAT, KEPERLUAN DAN MOTIVASI

Matlamat ialah sesuatu benda atau perkara, atau tujuan, atau keinginan atau kejayaan atau apa sahaja yang individu akan berusaha untuk mendapatkannya (Locke & Latham, 1990). Sebagai contoh, apabila seorang pelajar bercita-cita hendak menghabiskan membaca satu bab dalam satu hari, maka dengan sendiri tingkahlakunya akan dikawal oleh matlamat yang dirancangkan itu. Matlamat ini seterusnya akan memberi motivasi baginya bertindak untuk menentukan cita-citanya tercapai dan dengan sendirinya mengurangkan diskrepansi di antara ‘di mana dia berada sekarang’ dan ‘ di mana dia ingin berada dalam jangka masa tertentu seperti yang dirancangkan’.

Seterusnya mengikut Locke dan Latham (1990), terdapat EMPAT sebab mengapa penentuan matlamat dapat memperbaiki prestasi seseorang itu:

· Matlamat menentukan tumpuan kepada tugas yang perlu dibuat

· Matlamat menggerakkan usaha

· Matlamat meningkatkan keinginan

· Matlamat menghidupkan perkembangan strategi baru apabila strategi lama tidak berjaya

a) Jenis Matlamat

Jenis matlamat yang kita pilih akan mempengaruhi kekuatan motivasi untuk berjaya. Matlamat yang spesifik, sederhana sukar, dan berkemungkinan dicapai dalam jangka masa yang terdekat akan lebih memeransangkan motivasi dan kesungguhan untuk mencuba (Pintrich & Schunk, 1996; Stripek, 1996). Matlamat yang spesifik juga memberi standard yang jelas dalam membuat penilaian ke atas prestasi atau pencapaian.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, terdapat dua kategori utama matlamat, iaitu matlamat pembelajaran dan matlamat pencapaian.

Matlamat pembelajaran ialah bertujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan ilmu pengetahuan tanpa mengira berapa banyak kesalahan yang telah dibuat. Pelajar yang mempunyai matlamat pembelajaran seperti ini tidak akan gentar dengan cabaran dan akan tetap berusaha untuk mencapai matlamatnya walau pun menghadapi banyak masalah dan rintangan.

Matlamat pencapaian pula adalah lebih menitikberatkan bagaimana penilaian oleh orang lain ke atas dirinya. Dalam konteks seorang pelajar, dia mahu dilihat sebagai seorang pelajar yang ‘cerdik dan pintar’ dan tidak mahu dilihat sebagai seorang yang tidak kompeten. Jikalau sesuatu matlamat itu dianggap terlalu sukar dan tidak mungkin dapat dicapai olehnya, maka ia akan menjadi defensif dan berkemungkinan besar dia akan mengambil strategi mencuba mengelakkan dari kegagalan. Mereka berlagak sebagai tidak mengambil endah, tidak mencuba dengan bersungguh-sungguh, atau juga seolah-olah mereka tidak ingin mencuba langsung. Pelajar seperti ini terlalu memikirkan tentang dirinya dan pandangan orang lain terhadap dirinya. Dia dinamakan oleh Miller (1984) sebagai ‘ego-involved learner’.

Mengikut Stipek pula (1996), antara tingkahlaku pelajar yang boleh digolongkan di bawah kategori ini ialah mereka yang menunjukkan ciri-ciri berikut:

· Mengambil jalan pintas untuk menyiapkan sesuatu tugasan

· Menipu dengan meniru kertas tugasan kawan yang cemerlang

· Menunjukkan prestasi pembelajaran yang baik semata-mata bagi mendapat perhatian

· Berusaha keras hanya apabila tugasan akan diberikan gred

· Menunjukkan marah dan kesal apabila mendapat gred rendah

· Terlalu mementingkan persaingan dalam semua aspek kerja dan suka membuat perbandingan dengan rakan lain

· Memilih tugasan yang akan mendapatkan penilaian yang positif

· Merasa tidak senang dengan tugasan yang tidak mempunyai kriteria penilaian dan ganjaran yang jelas

2.1 Motivasi Dan Keperluan Manusia

Apakah itu keperluan? Pada dasarnya ia merupakan “…a biological or psychological requirement; a state of deprivation that motivates a person to take action toward a goal” (Darley, Glucksberg, & Kinchla, 1991). Pada hakikatnya keperluan manusia tidak pernah dapat dipenuhi secukupnya, sebaliknya memerlukan pembaikan yang berpanjangan.

a) Hirarki Keperluan Maslow

Manusia dipercayai mempunyai banyak dan pelbagai keperluan. Persoalannya, daripada keperluan yang banyak dan pelbagai itu, yang mana satukah keperluan asas yang perlu dipenuhi dahulu? Mengikut Maslow, keperluan manusia bermula dari yang paling rendah iaitu asas untuk hidup, seperti makan dan minum serta tempat tinggal, kepada keperluan yang lebih tinggi, seperti pencapaian intelek, sehinggalah ke peringkat yang paling tinggi, iaitu pemenuhan kendiri.

Maslow menamakan keempat-empat keperluan ini sebagai keperluan untuk hidup, keperluan fizikal, keselamatan, rasa dipunyai dan dihargai, serta pemenuhan keperluan diri yang lain. Keempat-empat ini diletakkan di bawah kategori keperluan defisien. Apabila semua keperluan ini sudah berjaya dipenuhi, maka keperluan ini akan menurun dan motivasi untuk mencapainya akan berkurangan. Sebaliknya bagi keperluan perkembangan dan peningkatan keintelektualan serta estetika, seperti keperluan untuk mendapatkan serta meningkatkan ilmu pengetahuan, menghayati keindahan dalam apa jua bentuk, tidak akan dapat dipenuhi sepenuhnya oleh sesiapa pada bila-bila masa pun. Malah semakin banyak seseorang itu mencari ilmu untuk cuba memahami kejadian di sekelilingnya, maka semakin kurang dia merasa akan dirinya dan semakin tinggi keinginannya untuk mencari dan meneroka.

Maslow juga membincangkan tentang tahap pemenuhan kendiri atau “self-actualization” yang didefinisikan sebagai “ the desire to become everything that one is capable of becoming” (Maslow, 1954). Tahap pemenuhan kendiri ini dapat dilihat apabila seseorang itu telah berjaya menunjukkan pembentukan sifat kendiri yang mantap atau jati diri, unggul atau juga dalam istilah yang digunakan oleh YAB Perdana Menteri sebagai ‘Towering Personality’ seperti tahap penerimaan diri dan orang lain dalam semua keadaan, jati diri, ketrampilan diri, keterbukaan, ramah mesra, berdaya menjalinkan hubungan yang sihat dan positif, kreatif, inovatif dan berdikari. Dengan lain perkataan sifat seseorang yang telah berjaya menunjukkan kemantapan psikologi dan kesihatan mental yang tinggi. Walau pun mengikut Maslow terdapat kurang daripada 1% manusia yang berjaya sampai ke tahap ini, tetapi adalah tidak mustahil bagi kita semua mencuba sampai ke puncak ini.

b) Implikasi Teori Maslow ke atas pendidikan.

Kepentingann teori Maslow ini dapat dilihat daripada aspek hubungan antara keperluan difisien dengan keperluan perkembangan seseorang pelajar itu. Sebagai contoh, seorang pelajar yang berada dalam serba kekurangan fizikal sudah tentu tidak ada kekuatan emosi dan psikologi untuk belajar dengan baik. Semua pendidik menerima hakikat bahawa jikalau keperluan asas pelajar tidak dipenuhi, maka proses pembelajaran mereka sudah tentu akan terjejas. Pelajar yang merasa dirinya tidak disayangi, tidak dihargai, dan tidak mempunyai kebolehan, agak sukar untuk membentuk motivasi yang tinggi untuk berjaya tanpa usaha, dorongan dan bantuan daripada pensyarahnya.

2.2 Pencapaian dan Motivasi

Ahli-ahli psikologi juga cuba menunjukkan bahawa seseorang pelajar yang berusaha mendapatkan kejayaan dalam pelajarannya semata-mata untuk mencapai kecemerlangan bagi memenuhi keperluan dirinya, dan sebaliknya bukan untuk mendapatkan ganjaran atau pujian, adalah dianggap mereka ini mempunyai keinginan untuk berjaya yang tinggi. Teori ini telah diperkenalkan oleh David McClelland dan John Atkinson dalam tahun 1950an. Mereka membuat andaian bahawa motivasi untuk berjaya ini adalah bermula dari keluarga dan budaya di mana anak itu dibesarkan. Jikalau dalam sesuatu keluarga itu telah ada budaya yang menggalak serta menghargai kejayaan, yang mana dilihat dari penekanan ciri-ciri seperti mementingkan usaha dan inisiatif, memberi ruang untuk persaingan positif, berusaha, berdikari serta melatih mereka dalam kemahiran menyelesai masalah, maka kemungkinan besar pelajar akan dapat membentuk nilai pencapaian yang tinggi dalam diri masing-masing dan tidak mudah berputus asa dan menyerah kalah.

Atkinson (1954) telah menggariskan beberapa dimensi baru kepada persoalan hubungan motivasi dan pencapaian apabila beliau membuat saranan bahawa semua manusia pada hakikatnya mempunyai keinginan untuk berjaya yang tinggi, dan juga keinginan untuk mengelak dari kegagalan. Mengikutnya lagi, jikalau keinginan untuk berjaya adalah lebih tinggi daripada perasaan takutkan kegagalan, maka akan timbul motivasi untuk menghadapi apa sahaja risiko bagi tujuan mencapai kejayaan itu. Sebaliknya jikalau keinginan untuk mengelakkan kegagalan adalah lebih besar daripada keinginan untuk berjaya, maka risiko yang akan diambil lebih berfungsi sebagai ‘ugutan’ untuk mengelak daripada menghadapi situasi itu; dan ia bukan lagi bertindak sebagai ‘cabaran’ untuk mencapai kejayaan.

Seterusnya, jikalau motivasi untuk berjaya lebih tinggi daripada motivasi untuk mengelak daripada kegagalan, maka kegagalan di peringkat awal akan meninggikan lagi usahanya untuk mencapai kejayaan itu. Tetapi sebaliknya jikalau dia mendapat kejayaan dengan senang tanpa banyak berusaha, maka hal ini akan mengurangkan motivasinya untuk berusaha dengan lebih giat lagi. Pelajar yang mempunyai motivasi yang tinggi untuk mengelak kegagalan, maka kegagalan pada peringkat awal akan terus mematikan semangatnya untuk berusaha, sebaliknya jikalau dia memperolehi kejayaan, ini akan membantu meninggikan lagi semangat dan motivasinya untuk berjaya.

2.3 Keperluan Membuat Penentuan Kendiri

Penentuan kendiri ialah keperluan untuk membuat pilihan sendiri dalam apa sahaja perkara yang hendak dilakukan. Segala tindakan yang dibuat oleh seseorang itu sepatutnya menunjukkan keinginannya, dan bukan disebabkan ganjaran atau tekanan dari luar (Deci & Ryan, 1985). Seseorang itu seharusnya bertanggungjawab ke atas tingkahlaku dan tindakannya. Dan seharusnya juga berusaha mengelak daripada tekanan luar seperti peraturan-peraturan yang mengongkong, dan dia juga perlu berani dalam menyatakan pendiriannya.

No comments:

Post a Comment