Friday, April 16, 2010

KERJA KURSUS PENDEK FALSAFAH PENDIDIKAN DI MALAYSIA PISMP SEM 1 2010

Disediakan Oleh :
Muhammad Ridhuan Bin Hanafi
(2010211310030)
PISMP Mathematics Cohort 5 IPG KBA

1.0 PENGENALAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN (FPK)

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) merupakan teras kepada sistem pendidikan di Malaysia sejak 1988. FPK telah distruktur berdasarkan Perlembagaan Malaysia dan berlandaskan ideologi kebangsaan yang menerapkan Rukunegara, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (Choong, 2008).

" Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.

Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi ciri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik.

Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia.

FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarg seterusnya kepada masyarakat dan negara.

Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.

Pada 22 Mac hingga 26 Mac 2010, saya telah menjalankan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di SK Janglau, Kuala Rompin, Pahang. Jadi, saya telah membuat pemerhatian terhadap peranan pihak pengurusan, prasarana, dan program dan aktiviti yang dilaksanakan di sekolah ini dalam merealisasikan FPK.

2.0 PERANAN PIHAK PENGURUSAN DALAM MEMEPERKEMBANGKAN ASPEK INTELEK, JASMANI, EMOSI, ROHANI DAN SOSIAL MURID-MURID

Sekolah memainkan peranan penting dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) kerana sekolah merupakan agen sosialisasi dan agen perubahan seseorang insan. Selain itu, sekolah juga merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat pemupukan minat setiap murid untuk terus mencari ilmu dan selanjutnya memberi sumbangan kepada khazanah ilmu yang sedia ada. Di sekolah jugalah nilai-nilai murni perlu diterapkan dalam diri murid-murid untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari pelbagai aspek JERIS iaitu, jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial selaras dengan matlamat dan objektif FPK. Justeru, setiap individu di sekolah memainkan peranan masing-masing untuk melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini. Antara pihak yang berkaitan ialah Pentadbir Sekolah, Ketua Panitia, Guru Bilik Darjah dan Guru Bimbingan dan Kaunseling.

2.1 Peranan Pentadbir Sekolah

Sistem pengurusan SK Janglau telah diterajui oleh guru besarnya Pn. Romlah@Ramlah bt. Ismail dan dibantu oleh GPK1, GPK HEM dan GPK Kokurikulum. Mereka sangat komited dalam usaha merialisasikan FPK dari semasa ke semasa. Bagi memastikan murid-murid di SK Janglau cemerlang dari segi intelek, pihak pentadbir sekolah telah mengadakan 9 kali ujian penilaian dalaman bagi murid darjah 6 sebelum menduduki UPSR. Hal ini dilaksanakan bagi memastikan setiap murid darjah 6 sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi UPSR selain dapat mengesan murid-murid yang perlu diberikan perhatian dalam pelajaran sekali gus dapat memastikan semua pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR. Pihak pentadbir juga memastikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Dalam merealisasikan FPK dari aspek jasmani, pihak pentadbir SK Janglau sangat memberi penekanan dalam aspek kokurikum. Sebagai contoh, semua murid wajib hadir ke sekolah pada sebelah petang untuk menjalankan aktiviti kokurikulum pada setiap hari Rabu. Aktiviti kokurikulum termasuklah persatuan, unit beruniform serta sukan dan permainan.

Selain itu, pihak pentadbir sekolah sentiasa menekankan kecemerlangan emosi murid-murid. Pihak pentadbir sekolah sentiasa memantau keceriaan dan kebersihan dalam persekitaran dan juga di dalam bilik darjah. Kelas yang tercantik dan terbersiah akan memperoleh piala pusingan pada setiap minggu. Langkah ini sangat berkesan bagi memastikan murid-murid sentiasa menjaga suasana tempat belajar dan sekali gus dapat belajar dengan baik.

Aspek rohani juga sangat ditekankan di sekolah ini. Buktinya, pihak pentadbiran telah menganjurkan Kem Bestari Solat, Majlis Solat Hajat dan Sambutan Maulidur Rasul. Program-program ini telah berjaya memberi kesedaran kepada murid-murid tentang kepentingan aspek rohani untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupan.

Akhir sekali, pihak pentadbir sekolah berusaha mewujudkan kecemerlangan sosial. Pihak pentadbir sentiasa mewujudkan keharmonian di antara anggota-anggota sekolah seperti budaya hormat-menghormati dan mengucap salam, kerjasama, rasa tanggungjawab, perpaduan, kemesraan dan keadilan. Pihak pentadbir juga menjalankan Rancangan Makanan Tambahan(RMT) kepada murid-murid. Selain itu, pihak pentadbir juga sentiasa peka terhadap masalah yang dihadapi oleh kakitangan sekolah. Mereka akan menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin kerana tidak mahu masalah ini akan menyebabkan pelajaran murid terganggu.

2.2 Peranan Ketua Panitia

Guru yang dilantik menjadi ketua panitia kebiasaannya dipilih berdasarkan kecemerlangannya dalam mata pelajaran tertentu. Setiap mata pelajaran mempunyai seorang ketua panitia masing-masing. Ketua panitia menyediakan rancangan mengajar bagi panitia dan setiap guru akan merujuk kepada rancangan mengajar tersebut. Ketua panitia sentiasa merancang untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam bidang yang diuruskannya. Saya sempat menemu bual seorang Ketua Panitia Matematik, Pn. Salina, beliau telah mengadakan program Kiralah Sayang untuk meningkatkan kecemerlangan murid-murid dalam subjek matematik.

Ketua Panitia juga sentiasa peka terhadap keperluan guru-guru di bawah naungannya. Jadi, peranan ketua panitia ini amat penting dalam memperbaiki kelemahan pengajaran selain dapat meningkatkan prestasi dan mutu semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang selaras dengan hasrat FPK yang ingin melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan serta berkeupayaan memberi sumbangan kepada kemajuan negara.

2.3 Peranan Guru Bilik Darjah

Melalui temu bual dengan seorang guru kelas darjah 6A, En. Arman, beliau mengatakan guru bilik darjah memainkan peranan yang amat penting dalam keseimbangan murid-murid di sekolah. Guru kelas bertindak menggantikan ibu atau bapa ketika murid-murid di sekolah. Beliau perlu mengetahui setiap masalah pelajar supaya sesi pembelajaran tidak terganggu. Beliau juga mengambil berat tentang kehadiran murid ke sekolah. Kadang-kadang, beliau pergi ke rumah murid yang tidak datang untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh murid tersebut.

Beliau juga bertanggungjawab untuk membantu murid menghias kelas kerana terdapat program keceriaan yang dijalankan di sekolah. Penyusunan organisasi di dalam kelas dan jadual bertugas juga dilakukan oleh beliau. Bilik darjah yang ceria dan menarik dapat menarik minat murid-murid untuk datang ke sekolah.

Selain itu, beliau juga sentiasa memberi bimbingan dan sokongan kepada murid-murid mereka supaya rajin belajar agar mendapat keputusan yang cemerlang. Beliau bertanggungjawab dalam mendisiplinkan murid-murid di dalam kelasnya. Beliau juga sering memberikan nasihat yang dapat membina keyakinan murid-murid mereka untuk belajar dan mengamalkan nilai-nilai murni sekaligus dapat merialisasikan FPK.

2.4 Peranan Guru Bimbingan dan Kaunseling

Guru Bimbingan dan Kaunseling di SK Janglau, En. Mohd Rizal memainkan peranan penting dalam merealisasikan FPK. Beliau lebih memfokuskan pembangunan aspek emosi. Beliau telah mengadakan pelbagai program motivasi dalam usaha mempertingkatkan kecemerlangan dalam kalangan murid-murid. Beliau juga mengadakan sesi kaunseling secara individu dan berkumpulan kepada murid-murid yang menghadapi masalah. Beliau banyak membantu dalam meningkatkan motivasi murid-murid di SK Janglau terutamanya dalam program-program yang dijalankan di sekolah ini iaitu Kem Motivasi dan sebagainya.

3.0 PRASARANA/KEMUDAHAN

3.1 Kemudahan sekolah dalam membina perkembangan fizikal

Prasarana sekolah yang baik dan sempurna akan membantu merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Prasarana yang baik dan sempurna juga amat penting agar proses P&P murid-murid tidak akan terganggu malah membantu murid-murid untuk memperkembangkan lagi diri mereka.

Antara kemudahan yang terdapat di SK Janglau dalam membina perkembangan fizikal ialah padang. SK Janglau mempunyai padang yang agak besar dan mencukupi untuk digunakan oleh semua warga SK Janglau. Semua aktiviti kokurikulum dilaksanakan di padang ini seperti Hari Sukan, pertandingan bola sepak, bola baling, bola jaring, olahraga dan sebagainya. Murid-murid perlu mematuhi peraturan penggunaan padang yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti memakai kasut, memakai baju sukan, tidak membuang sampah dan lain-lain ketika berada di padang.

Selain itu, terdapat juga padang permainan di SK Janglau. Padang permainan ini lebih sesuai digunakan oleh murid Tahap 1 dan prasekolah kerana alat-alat permainan yang disediakan lebih sesuai digunakan oleh mereka seperti buaian, jongkang-jongket dan lain-lain.

Tuntasnya, kemudahan-kemudahan yang disediakan ini banyak membantu murid dalam memperkembangkan fizikal mereka selaras dengan aspirasi FPK.

3.2 Keceriaan sekolah dalam memupuk nilai estetika, kebersihan, kecintaan terhadap alam semulajadi

Suasana sekolah yang ceria, kondusif dan merangsang pembelajaran adalah sangat penting untuk menghasilkan murid-murid yang berkembang secara harmonis dan menyeluruh dari segala aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sosial. Untuk mencapai hasrat ini, iklim dan budaya sekolah haruslah berada dalam keadaan selesa, tenteram, aman damai, mesra dan juga riang.

Sekolah ini amat mementingkan aspek nilai estetika, kebersihan, dan kecintaan terhadap alam semula jadi. Hal ini terbukti apabila sekolah ini telah menyertai Program Keindahan Keceriaan dan Alam Sekitar Sekolah (Program 3K) . Visi utama projek ini adalah untuk melahirkan generasi berkeperibadian yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek menjelang 2020. Untuk itu, pihak sekolah telah berusaha untuk meningkatkan tahap keceriaan dan kebersihan kawasan sekolah dengan melaksanakan pelbagai aktiviti. Antaranya ialah mencantikkan lanskap sekolah, program melukis mural yang dijayakan oleh guru dan murid-murid, kata-kata hikmah yang ditampal di dinding-dinding dan di gantung di susur gajah, penanaman pokok-pokok bunga renek oleh guru-guru dan murid-murid dan lain-lain. Kebersihan di seluruh kawasan sekolah amat penting kerana ia akan mempengaruhi proses P&P di dalam darjah.

Amalan nilai-nilai murni dan berakhlak mulia merupakan salah satu elemen yang amat ditekankan di SK Janglau selaras dengan FPK. Guru-guru di sekolah ini sentiasa mendidik dan menerapkan akhlak mulia dan nilai-nilai murni kepada murid-murid melalui amalan pengajaran harian mereka. Nilai murni seperti memberi salam kepada guru dan orang yang lebih tua, membaca doa sebelum dan selepas belajar adalah yang diterapkan kepada murid-murid adalah untuk melahirkan warganegara yang beragama dan seimbang serta menyeluruh.

Kesimpulannya, keceriaan sekolah ini sentiasa terjaga bagi memastikan pemupukan nilai estetika, kebersihan, dan kecintaan terhadap alam semulajadi. Perkara ini sekali gus akan dapat membantu merialisasikan FPK.

4.0 PROGRAM DAN AKTIVITI

4.1 Aktiviti kurikulum dalam membina perkembangan kognitif pelajar berdasarkan kepada kebolehan individu.

Pihak sekolah bertanggungjawab dalam merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang dapat membina perkembangan murid.

Antara aktiviti yang telah dijalankan di sekolah ini ialah Hari Anugerah Kecemerlangan Murid, Sambutan Maulidur Rasul, Kem Kiralah Sayang program NILAM, kelas tambahan dan sebagainya. Secara tidak langsung, melalui program seperti ini dapat mencungkil potensi murid-murid lalu dapat diperkembangkan secara optimum. Dengan perlaksanaan aktiviti kurikulum yang berbentuk pertandingan atau program ini, secara tidak langsung membantu dalam merealisasikan FPK di sekolah ini.

Dalam sesi P&P, guru sekolah ini menggunakan alat bantu mengajar yang disediakan pihak sekolah seperti LCD, Projektor, laptop (untuk guru-guru Sains, Matematik, bahasa Inggeris dan pemulihan), radio, televisyen dan lain-lain yang telah disediakan oleh pihak sekolah melalui peruntukan-peruntukan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan.

Program Pemulihan juga dilaksanakan di sekolah ini bagi mengatasi masalah keciciran penguasaan 3M dan pelbagai lagi masalah pembelajaran dalam kalangan murid-murid SK Janglau.

Tuntasnya, pengurusan kurikulum yang baik dapat menghasilkan acuan yang bagus dan mantap dari segala aspek. Kurikulum juga memberi peluang kepada murid untuk menimba ilmu pengetahuan melalui pengalaman dan mengasah bakat dalam pelbagai bidang di sekolah seterusnya melahirkan individu yang berakhlak mulia, bertanggungjawab dan taat setia sebagaimana yang terkandung di dalam FPK.

4.2 Aktiviti kokurikulum dalam memperkembangan bakat dan potensi setiap individu murid

Kokurikulum merupakan antara agenda utama di SK Janglau bagi merialisasikan FPK. Terdapat tiga jenis kokurikulum yang dijalankan di sekolah ini iaitu persatuan, kelab dan permainan dan unit beruniform. Antara unit-unit beruniform yang terdapat di SK Janglau ialah Pengakap, Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS), Puteri Islam dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM). Terdapat juga persatuan-persatuan akademik seperti Persatuan Sains dan Matematik, Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Bahasa Inggeris dan persatuan atau kelab bukan akademik seperti Kelab Badminton, Kelab Bola Sepak, dan sebagainya yang menjadi pilihan murid-murid untuk mengasah minat dan bakat mereka.

Pada tahun 2010, antara aktiviti yang telah dilaksanakan ialah perkhemahan Unit Beruniform, Hari Sukan 2010 dan larian merentas desa. Antara objektif aktiviti kokurikulum ini dilaksanakan adalah untuk menyeimbangkan antara perkembangan mental (akademik) dengan jasmani, sosial emosi dan jasmani pelajar dan pengukuhan interaksi dan intergrasi di kalangan pelajar sekolah. Selain itu, matlamat kokurikulum adalah untuk meningkatkan minat, bakat, kemahiran dan daya kepimpinan pelajar serta meningkatkan disiplin pelajar melalui penyemaian dan pemupukan nilai-nilai murni.

Jadi, dapatlah dirumuskan bahawa kegiatan kokurikulum amatlah penting untuk melahirkan masyarakat yang seimbang dari segala aspek sejajar dengan matlamat FPK.

5.0 CADANGAN-CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

Setelah seminggu menjalankan PBS di SK Janglau, saya mendapati terdapat beberapa penambahbaikan yang patut dilakukan di sekolah ini bagi merialisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Pertama, pihak pentadbiran terutamanya Guru Besar perlu sentiasa memantau dan menilai pengajaran guru serta memantau kemajuan murid. Guru Besar juga boleh memberi sedikit ganjaran untuk guru supaya guru-guru di sekolah ini lebih bersemangat untuk mengajar. Selain itu, Guru besar juga hendaklah menyediakan insentif untuk murid supaya timbul rasa minat dalam kalangan murid untuk terus bersaing secara sihat antara satu sama lain. Sekiranya perkara ini dilakukan, saya pasti FPK akan tercapai dengan jayanya kerana guru-guru dan murid-murid mendapat suntikan semangat melalui insentif dan ganjaran yang diberikan oleh Guru Besar.

Kedua, Guru Besar perlu turut sama terlibat dengan perlaksanaan aktiviti-aktiviti yang dirancang di sekolah. Guru Besar yang cemerlang akan sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada guru-guru untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih baik dan menarik minat murid-murid untuk belajar. Penglibatan secara langsung Guru Besar dengan organisasi sekolah amat penting dalam mewujudkan suasana dan iklim sekolah yang harmonis dan damai selaras dengan kehendak FPK.

Ketiga, pihak sekolah seharusnya menyediakan sistem Punch Card bagi memastikan guru sentiasa berdisiplin dan menepati masa untuk datang ke sekolah. Disiplin guru-guru adalah amat penting kerana guru-guru akan menjadi role model kepada murid-murid.

Keempat, pihak pentadbir hendaklah mengenalpasti murid-murid yang cemerlang yang datang daripada golongan miskin untuk diberi biasiswa. Pemberian biasiswa kecil kerajaan ini adalah bertujuan untuk mengurangkan beban keluarga murid tersebut dan sekali gus akan meningkatkan semangat murid ini untuk terus belajar dan akhirnya akan mengharumkan nama sekolah atas kejayaannya.

Kelima, pihak sekolah berperanan penting dalam melaksanakan matlamat FPK ini dengan meningkatkan keberkesanan dan pelaksanaan program pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sebagai contoh, peranan sekolah menaiktarafkan pusat sumber sekolah dengan menambah bilangan buku dan kemudahan-kemudahan di dalam pusat sumber seperti alat penghawa dingin, sudut kognitif dan sudut bacaan akhbar dapat menarik minat murid dan guru-guru untuk ke sana. Jadi hal ini dapat meningkatkan ilmu pengetahuan murid-murid selaras dengan matlamat FPK yang ingin melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan.

Seterusnya, proses P&P di dalam bilik darjah juga dapat dipertingkatkan dengan penyelarasan rancangan mengajar. Guru memainkan peranan yang penting dalam menjayakan P&P yang berkesan. Oleh itu guru perlu menggunakan modul pengajaran KBKK semasa P&P berjalan kerana ingin mewujudkan suasana yang dapat menarik minat murid-murid. Guru juga perlulah memberi latihan dari sumber luar agar cara pengajaran dapat dipelbagaikan supaya murid-murid tidak bosan. Murid-murid akan berasa lebih seronok dengan teknik pengajaran yang berbeza. Namun, guru perlulah memilih teknik pendekatan mengajar yang sesuai dengan situasi murid agar dapat mencapai objektif pengajaran yang dihasilkan.

Di samping itu, kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah perlu melibatkan semua murid. Secara tidak langsung, individu yang sihat dan cergas dapat dilahirkan serta dapat melahirkan individu yang prihatan terhadap kesihatan diri.

Dari aspek rohani, pihak sekolah boleh menubuhkan persatuan agama Islam, kelab Tarannum dan banyak lagi di sekolah untuk mewujudkan keseimbangan perkembangan mental (akademik) dengan perkembangan sosial, jasmani, dan rohani murid-murid sejajar dengan kehendak FPK. Murid-murid juga dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah serta dapat melahirkan kesejahteraan diri dengan penglibatan mereka di dalam aktiviti ini.

6.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, berdasarkan kepada semua huraian diatas, maka ternyatalah bahawa kejayaan sesebuah sekolah dalam merealisasikan FPK adalah bergantung kepada aspek pihak pentadbiran, prasarana, aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Semua aspek ini akan menentukan modal insan yang bakal dihasilkan sama ada memenuhi hasrat FPK atau tidak. Kejayaan sekolah dalam merealisasikan FPK juga secara tidak langsung mampu menjana dan membina modal insan yang berkualiti.

Merujuk kepada PIPP (2006-2010), negara kita berhasrat untuk menghasilkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berperibadi mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, mampu untuk berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru, mempunyai ketahanan serta berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah-ubah. Sekali lagi dinyatakan bahawa, peranan sekolah amat penting dalam menyahut cabaran yang terkandung di dalam FPK untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia bertanggungjawab dan keupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

7.0 REFLEKSI

Sepanjang saya menjalankan PBS di SK Janglau, saya membuat banyak pemerhatian terhadap pelaksanaan FPK di sekolah ini. Banyak pengalaman baru yang saya telah dapat di sekolah ini. Dalam tempoh saya menjalankan PBS ini, saya mendapati bahawa semua pihak terutamanya pihak pentadbiran dan guru-guru menunjukkan sikap yang positif dalam tugas masing-masing bagi merialisasikan FPK di sekolah ini.

Sebagai buktinya, banyak program telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak pentadbiran kepada murid-murid bagi memastikan murid-murid mereka mendapat kecemerlangan dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Saya sempat melakukan pemerhatian ke atas seorang guru bahasa Inggeris ketika beliau sedang mengajar. Saya dapati guru ini sangat komited dalam mendidik murid-murid beliau. Pelbagai pendekatan, kaedah dan strategi telah digunakan sepanjang beliau mengajar bagi memastikan murid-murid mereka fokus terhadap apa yang beliau ajar. Saya amat kagum dengan sikap beliau yang sangat bijak mengawal sesi P&P. Saya yakin, guru-guru lain di sekolah ini juga mempunyai sikap yang sedemikian.

Satu perkara lagi yang menarik perhatian saya adalah peranan Guru Besar di sekolah ini. Beliau sering membuat tinjauan,pemantauan dan pemeriksaan terhadap RMT yang disediakan di sekolah ini. Ini menunjukkan sikap Guru besar yang amat prihatin terhadap keselamatan murid-murid beliau. Selain itu, beliau juga sering membuat pemerhatian dan pemantauan secara mengejut ketika guru sedang mengajar. Jadi, saya amat teruja dengan sikap beliau. Saya beranggapan bahawa guru-guru di sekolah ini sudah mengetahui sikap Guru besar ini dan sentiasa bersedia pada setiap masa dan sekali gus akan menjadikan sesi P&P sentiasa terbaik. Impaknya, murid-murid sentiasa mendapat didikan dengan cara yang paling baik dan akhirnya akan menjadi murid yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sebagai penutup, peranan semua pihak di sekolah ini adalah amat penting dalam membentuk kecemerlangan murid-murid dari aspek JERIS seperti yang terkandung dalam FPK.

8.0 RUJUKAN

Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman. (2008), Falsafah pendidikan dan kurikulum. Tanjung Malim: Quantum Books.

Choong.L.K. (2009), Falsafah dan pendidikan di Malaysia untuk program perguruan pendidikan rendah pengajian tahun 4. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiaman Sdn. Bhd.

Kementerian Pelajaran Malaysia, 2007. Perangkaan Pendidikan Malaysia 2007. KPM: Putrajaya.

Falsafah pendidikan kebangsaan. (n.d). Retrieved Mac 24, 2010, from http://upu.mohe.gov.my/portal/arkib/fpk.php.

1 comment:

  1. nice! can I use it 4 my preference. btw, I come from IPGKSM, Besut.

    ReplyDelete