Wednesday, September 22, 2010

Ketagihan Facebook!!!

Laman sosial, permainan komputer tumpulkan minda

HIDUP tidak lengkap tanpa internet, khususnya laman web sosial seperti Facebook. Tidak hairanlah jika ditanya, pasti ramai baik yang bergelar pelajar, pekerja serta suri rumah pasti mengakui ‘melekat’ di komputer melayari laman web itu saban hari.

Lebih parah lagi apabila obsesi laman web itu dipadankan dengan ketagihan bermain permainan komputer.

Namun, seperti mana masalah lainnya – ketagihan yang keterlaluan pasti ada padahnya.

Inilah amaran dibuat beberapa pakar perubatan termasuk pakar otak terkemuka Britain yang juga pensyarah Universiti Oxford, Susan Greenfield.

Menurutnya, obsesi melampau melayari laman web sosial dan permainan komputer boleh menjejaskan fungsi otak.

“Ketagihan internet boleh merubah otak dengan menjejaskan tumpuan dan mengurangkan aspek kepantasan reaksi atau rasa empati. Individu boleh menjadi seorang yang dingin, tidak peka atau sensitif dengan perasaan orang lain kerana fungsi otak mereka yang diubah kerana terlalu asyik dengan komputer.

“Ringkasnya, tabiat mereka itu menyebabkan minda mereka menjadi tumpul. Bagi saya, fakta ini sudah cukup membimbangkan dan sewajarnya diberi perhatian sama seperti tumpuan kepada isu perubahan cuaca.

“Ia mungkin lebih serius kerana membabitkan keupayaan seseorang itu berfikir dengan baik dan bagaimana otak itu berfungsi. Kita juga bimbang, andai ketagihan ini berterusan, ia boleh mewujudkan generasi yang lemah mindanya,” kata Greenfield ketika berucap pada Festival Sains Britain, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Greenfield berkata, kebimbangannya itu berlandaskan rasional berikutan kesan atau impak internet terhadap otak penggunanya.

“Penggunaan laman web sosial mengurangkan interaksi secara bersemuka.
Golongan muda tidak lagi suka berbicara secara berdepan dan menyebabkan mereka tidak sensitif dengan perasaan atau endah reaksi rakan atau orang lain.

“Selain itu, penggunaan enjin carian mencari fakta menjadi halangan individu untuk belajar atau mentelaah. Akibatnya ramai yang terlalu bergantung kepada enjin carian bagi mendapatkan maklumat diingini daripada berikhtiar atau bersusah payah mencari fakta menerusi buku atau sumber rujukan lainnya,” katanya.

Menurut Greenfield, tabiat suka bermain permainan komputer pula mengajar pelbagai aspek negatif yang memudaratkan seperti menganggap kesilapan sebagai perkara biasa dan tidak perlu dibimbangkan.

“Di Britain, ada kanak-kanak yang menghabiskan masa lebih tujuh jam sehari di depan komputer. Mereka yang bermain permainan komputer ini hidup dengan dunia mereka sendiri. Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan sebelum mencapai misi itu sebaliknya mendidik mereka menjadi insan yang cuai atau lalai ketika melakukan kegiatan seharian,” katanya.

Itu, katanya, tidak termasuk aspek kesihatan yang disebabkan ketagihan laman web sosial dan permainan komputer seperti obesiti. Ini disebabkan pengguna tidak lagi suka begerak atau bersenam sebaliknya sanggup makan di depan komputer. Lebih memburukkan keadaan, waktu makan juga tidak diendahkan.

Kebimbangan Greenfield turut diakui pakar atau saintis saraf kognitif Universiti Tufts di Massachusetts, Amerika Syarikat, Maryanne Wolf.

“Saraf dalam otak yang selama ini digerakkan aktiviti membaca serta menganalisis kandungan bahan bacaan itu boleh terjejas apabila lebih ramai yang memilih untuk melayari internet. Kita tidak lagi berminat untuk menganalisis fakta yang diterima bulat-bulat menerusi enjin carian.

“Berikutan itu, kita tidak lagi mengajar otak untuk berfikir secara mendalam yang boleh menjejaskan fungsi otak apabila keadaan berlarutan.

“Saya bimbang, jika itulah yang dilakukan dari peringkat awal kehidupan iaitu kanak-kanak, bagaimana keadaannya apabila mereka dewasa kelak. Ia tidak hanya menjejaskan kehidupan seharian tetapi bagaimana mereka dapat menjadi pekerja yang cekap dan berdaya saing?” katanya.

——-

Sumber: Berita Minggu |19 September 2010|

Friday, September 17, 2010

Showcase Maher Zain...LIVE IN MALAYSIA!


Dibawakan khas untuk anda! LIVE IN MALAYSIA!

Showcase Maher Zain, “Save The Soul”


Untuk dapatkan tiket, hubungi :

1) Raudhatus Sakinah, 03-4108 9669 (Pn Izahana / En Abdullah Omar)

2) In-Team Records, 03-6273 6393 / 017-668 1885 (En Fairus)

3) My Event Enterprise, 03-5511 0650 (En Roslan / En Naizi)


* Harga Tiket: RM200, RM150, RM100, RM70

Tempahlah Tiket sekarang juga sementara tiket masih ada!!!

Jom Kite Pakat P Sana...!!!

Masalah Kekurangan Guru Lelaki di Malaysia

Baru-baru ini, Lebih 80 peratus atau 54,400 daripada kira-kira 68,000 permohonan untuk mengikuti Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI) yang diterima Kementerian Pelajaran bagi pengambilan Jun depan membabitkan golongan wanita. Persolaannya, di manakah golongan lelaki? Adakah masalah kekurangan guru lelaki di Malaysia akan berterusan dan bertambah serius? Sehinggakan ada mengatakan kekurangan guru lelaki di sekolah hari ini menjadi faktor utama peningkatan masalah disiplin kebelakangan ini……

Dahla…pelajar lelaki menjadi golongan minoriti di IPTA, ditambah pula kekurangan guru lelaki di sekolah. Tidak dinafikan bidang perguruan, kedoktoran, kejururawatan memang menjadi pilihan golongan wanita.

Kalau di sekolah, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan, baik guru lelaki mahupun guru wanita. Kebiasaannya, hasil kerja “guru lelaki” tidak akan sama dengan “guru wanita” begitu juga “impak” guru wanita tidak akan sama dengan guru lelaki. Itu sebabnya apabila mereka mampu “bersatu” dan “berganding bahu” dengan baik, institusi pendidikan di sekolah mampu dipertingkat. Tetapi jikalau bilangan atara guru lelaki dan guru wanita tampak tempang? Apa kesannya?

Memang betul ibubapa sekarang banyak yang lepas tangan, yang laksanakan tanggungjawab mereka sebagai ibubapa dengan baik saya ucapkan tahniah dan syabas. Itu yang remaja sekarang jadi rosak. Kemudian apabila di sekolah, pelajar yang bermasalah inilah yang buat perangai. Jadi suka atau tidak, memang guru lelaki memainkan peranan yang penting dalam menangani masalah disiplin di sekolah. Takkan mahu dibiarkan begitu sahaja bukan? Akhirnya pelajar “naik kepala”…..

Kepada golongan lelaki jika anda berminat tetapi dalam pada masa yang sama kurang berkeyakinan untuk menjadi guru bolehlah mencuba untuk jadi guru sandaran, guru kontra atau guru ganti. Rasai dahulu pengalaman bergelar guru, kemungkinan minat yang sepenuh hati akan datang kemudiannya. Kalau berminat, apa salahnya diteruskan. Sekurang-kurangnya bebanan kekurangan guru lelaki dapat diatasi sedikit demi sedikit.

Dalam apa juga kerja sekalipun mesti datang MINAT. Minat juga datang daripada pendedahan dan peluang. Tidak dinafikan ramai golongan lelaki yang ingin menjadi guru sebenarnya ditambah pula lambakan golongan graduan mengangur di luar sana terutama graduan lelaki yang sebenarnya ramai berkeinginan untuk menjadi guru. Betul tak? Mungkin Kementerian Pelajaran Malaysia kurang-kurangkanlah birokrasi. Bagi saya, kehadiran guru lelaki dan perempuan adalah saling melengkapi dalam institusi pendidikan.

Kalau mengikut kepada Future Studies yang diketuai oleh Prof Abu Hassan, kekurangan guru lelaki boleh mempengaruhi pelajar-pelajar lelaki untuk jadi lembut kerana ramainya ramainya guru-guru wanitadi sekolah

Jadi cikgu umpama lilin membakar diri. Dulu mungkin kita biasa mendengar. Sekarang saya nak ingatkan diri saya sendiri dan juga pembaca sekalian. Ingat, manfaat seorang guru adalah, ilmunya tak akan putus sepanjang zaman. Ia akan dikongsi, diperturunkan dari anak muridnya sampai ke generasi berikutnya. Pahala mendidik ilmu pengetahuan akan terus mengalir walaupun seorang guru menjadi penghuni alam barzakh. Ilmunya ibarat sedekah, yang pahalanya berterusan sepanjang masa.

P/S : Mulianya tugas seorang guru…..

Thursday, September 9, 2010

Kerja Kursus Pendek Murid dan Alam Belajar PISMP Sem 2

Disediakan Oleh :
Muhammad Ridhuan Bin Hanafi
(2010211310030)
PISMP Mathematics Cohort 5 IPG KBA



1.0 PENGENALAN

Mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsann (FPK) dalam (Choong, 2009), pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Bagi merialisasikan FPK dan menghadapi globalisasi pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil langkah proaktif memperkasa sekolah-sekolah kebangsaan melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia (PIPP) 2006-2010. Dalam konteks ini, seseseorang guru bertanggungjawab untuk meningkatkan prestasi murid dalam pelajaran dan menghasilkan modal insan kelas pertama. Justeru, guru hendaklah mempelbagaikan strategi dan kaedah pengajaran semasa sesi pengajaran dan pembelajaran ( P&P). Pembelajaran akan berjalan dengan lancar, menarik dan berkesan sekiranya guru menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian dengan isi pelajaran dan kemahiran yang akan dicapai oleh murid (Mohamad Johdi, 2007).

Terdapat empat strategi pengajaran pembelajaran yang perlu difahami dan dikuasai oleh seseorang guru (Noriati A. Rashid ,2009). Pertama, strategi pengajaran berpusatkan guru di mana guru mengawal keadaan dan berperanan sebagai ketua. Dengan kata lain,guru bertanggungjawab sepenuhnya menentukan objektif pembelajaran, merangka tugasan pembelajaran dan memilih sumber pembelajaran bagi muridnya.
Strategi yang kedua adalah strategi pengajaran yang berpusatkan murid. Strategi ini memberi tumpuan kepada perkembangan pembelajaran murid dan memberi peluang kepada murid untuk menentukan jenis pengetahuan dan meneroka sesuatu ilmu yang baru.

Ketiga, strategi pengajaran berasaskan bahan yang mana guru menyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan banyak bahan seperti buku,blok-blok binaan,komputer dan lain-lain bagi meningkatkan pemikiran kritikal dan mental.
Strategi keempat ialah pengajaran berasaskan tugasan. Dalam strategi ini, guru melibatkan murid dalam aktiviti atau tugasan yang memberikan peluang kepada murid untuk mengaplikasikan apa yang dipelajarinya. Dengan kata lain, strategi ini menekankan kolaborasi antara guru dan pelajar dalam mempelopori sesuatu perkara atau topik secara penyempurnaan projek atau tugasan.

Sehubungan dengan itu, diharapkan semua guru sentiasa memilih strategi dan kaedah pengajaran pembelajaran yang sesuai untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan berkesan. Dengan cara ini, ia dapat membantu murid untuk mendapat pencapaian yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam kehidupan sehariannya. Secara tidak langsung, ia dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara dan seterusnya dapat merealisasikan Wawasan 2020.

Bagi mengetahui dengan meyeluruh tentang strategi pengajaran pembelajaran, dua strategi akan dikupas dan dibincangkan dalam tajuk berikutnya iaitu strategi pengajaran berpusatkan murid dan strategi pengajaran berasaskan tugasan.


2.0 STRATEGI PENGAJARAN BERPUSATKAN MURID

Dewasa ini, strategi pengajaran berpusatkan murid telah banyak digunakan oleh para guru semasa meyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran bahkan telah menjadi tren utama dalam inovasi kurikulum seluruh dunia.

Noriati (2009) mendefinisikan strategi pengajaran berpusatkan murid sebagai pengambil alihan tugas atau tanggungjawab daripada guru oleh murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Strategi ini melibatkan murid secara aktif dalam sesuatu aktiviti yang dijalankan seperti yang dinyatakan oleh (Orlich et al.,2007) dalam Noriati (2009).

Dalam strategi ini, guru hendaklah memastikan murid-murid belajar sesuatu dan membina pengetahuan mereka sendiri melalui aktiviti yang dilakukan. Esah (2003) menyatakan bahawa guru hendaklah mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran semasa menyediakan aktiviti untuk mereka.

Selain itu, strategi ini juga dapat meningkatkan penglibatan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan kemahiran berfikir, menambahkan keyakinan diri, menggalakkan murid menghasilkan idea dan memberi pendapat, menggalakkan murid membina ilmu dan mewujudkan suasana kerjasama dalam kalangan murid (Shahabuddin,2007).
Strategi pengajaran berpusatkan murid mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Antaranya adalah seperti yang dinyatakan oleh Noriati (2009) iaitu murid lebih minat dalam pelajaran, melibatkan komunikasi dua hala, kepimpinan bercorak demokratik, membina kreativiti murid dan pembelajaran bercorak pengarahan kendiri.

Menurut Amaljaya (2009), aktiviti yang dijalankan mengikut strategi pemusatan murid menjadikan murid lebih member fokus dalam proses pembelajaran. Strategi ini adalah lebih sesuai apabila maklumat tidak dapat disampaikan dengan berkesan melalui strategi pemusatan guru dan apabila matlamat pengajaran merangkumi kemahiran kreatif dan kritikal (Noriati,2009).


2.1 KAEDAH PENGAJARAN YANG BERSESUAIAN DENGAN STRATEGI BERPUSATKAN MURID SERTA TEORI-TEORI YANG BERKAITAN

2.1.1 Kaedah Pengajaran Perbincangan

Mengikut Gauthier (2001) dalam Noriati (2009), perbincangan merupakan satu proses aktif yang melibatkan guru dan murid dalam persekitaran pembelajaran. Bond (2001) menegaskan bahawa dalam perbincangan ini, murid akan menjadi lebih aktif (Noriati,2009).
Bagi menggalakkan penyertaan aktif murid dalam aktiviti pembelajaran, aktiviti berkumpulan perlu diadakan supaya murid dapat berinteraksi sesama mereka sewaktu perbincangan-perbincangan yang dijalankan (Shahabuddin et.al. , 2007).

Abd. Ghafar (2003) menjelaskan bahawa dalam kaedah ini, guru hendaklah memastikan murid sentiasa berminat untuk mengikuti pembelajaran. Guru-guru perlu menggalakkan para pelajar berfikir untuk lebih menghasilkan daya pemikiran yang lebih kreatif, inovatif dan menghasilkan idea yang bernas.

Kaedah pengajaran perbincangan kumpulan ini termasuk dalam model pembelajaran koperatif. Noriati (2009) menjelaskan bahawa pembelajaran secara koperatif yang dipelopori oleh Slavin (2005) adalah merupakan pembelajaran aktif yang berupaya mengubah suatu situasi pembelajaran yang pasif kepada suatu yang dinamis serta berpusatkan murid. Noriati (2009) menjelaskan bahawa terdapat empat prinsip pembelajaran koperatif iaitu kebergantungan positif, interaksi bersemuka, penglibatan seimbang dan akautabiliti individu.

Arends(2001) dalam Noriati(2009) menjelaskan bahawa kaedah perbincangan digunakan oleh guru untuk mencapai tiga objektif pengajaran iaitu meningkatkan pemikiran dan membantu murid membina kefahaman kandungan; merangsang penglibatan; serta membantu murid menguasai kemahiran komunikasi dan proses pemikiran.

Menurut Noriati (2009) lagi, terdapat empat elemen penting yang perlu diberi penekanan sewaktu seseorang guru ingin menggunakan kaedah perbincangan dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu matlamat dan objektif P&P, saiz kumpulan, susunan bilik dan pemilihan topik yang ingin dibincangkan.

Terdapat 5 teknik utama dalam pembelajaran koperatif. Pertama, Penyiasatan Berkelompok (Group Investigation). Dalam teknik ini, setiap ahli kumpulan akan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sekolah untuk mendapatkan maklumat. Ini memerlukan murid mengenalpasti suatu topik yang disiasat, merancang serta menjalankan penyiasatan. Semua maklumat yang telah diperolehi akan dianalisis dengan cara terperinci untuk dipersembahkan dalam bentuk yang kreatif dan menarik.

Kedua, teknik Student Team Achievement Division (STAD). Dalam teknik ini, murid-murid perlu berada dalam kumpulan kecil dan menggunakan lembaran kerja untuk menguasai suatu cabang pengetahuan. Mereka saling membantu antara satu sama lain melalui tutorial, kuiz atau perbincangan kumpulan.

Ketiga, teknik Jigsaw. Setiap kumpulan akan menghantar ahli untuk membentuk kumpulan pakar. Ahli-ahli dalam kumpulan pakar akan membincangkan sebahagian bahan akademik (yang telah disediakan oleh guru). Selepas itu, semua ahli kumpulan pakar tadi akan kembali ke kumpulan asal masing-masing untuk berkongsi pengetahuan mereka dengan rakan sekumpulan. Motif utama dalam Jigsaw ialah setiap murid dalam satu kumpulan akan menjadi pakar dalam topik tertentu dan bertanggungjawab memberi tunjuk ajar kepada rakan sekumpulan tentang apa yang telah mereka pelajari.

Teknik keempat ialah Team-Accelerated Instruction (TAI). Ia merupakan pendekatan secara menyeluruh di mana pelajar mempunyai kebebasan bertindak dan guru boleh membentuk kelas heterogeni. Pelajar yang mempunyai latar belakang yang berbeza ditentukan kepada kumpulan yang heterogenus. Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada murid yang rendah pencapaian supaya dapat meningkatkan tahap pencapaiannya seiring dengan murid lain yang mempunyai pencapaian tinggi.

Teknik kelima ialah Team Games Tournament (TGT). Dalam teknik ini, guru perlu memberitahu pelajaran yang berkaitan sama ada dalam bentuk syarahan, demonstrasi atau pertunjukan visual. Pelajar berbincang mengenai bahan yang disampaikan oleh guru. Kemudian pelajar akan bekerja mengikut lembaran kerja yang disampaikan oleh guru untuk menguasai konsep. Pelajar akan bermain suatu permainan berbentuk pertandingan di dalam bilik darjah.

Dalam kaedah perbincangan, terdapat dua teknik yang boleh digunakan iaitu teknik Putaran Giliran (Round Robin) dan teknik Meja Bulat (Round Table). Dalam teknik Putaran Giliran, setiap ahli dalam kumpulan akan mengutarakan pendapat masing-masing secara lisan mengikut putaran giliran mereka Matlamatnya adalah untuk memberikan setiap ahli peluang mengemukakan idea masing-masing sambil menerima dan menolak idea yang lain secara diplomasi. Melalui teknik ini berlakulah proses bertukar-tukar idea dan pandangan agar idea yang diperuntukan itu akan menjadi lebih jelas dan bermakna.

Manakala teknik Meja Bulat pula, ahli kumpulan dapat berkongsi maklumat secara bergilir-gilir dalam mencurahkan idea yang dibincangkan. Setiap ahli memerlukan tambahan idea untuk melengkapkan tugasan. Aktiviti berkongsi maklumat ini dapat dilaksanakan oleh ahli dalam kumpulan agar perkara yang dibincangkan itu menghasilkan satu idea yang sangat bermakna. Melalui penurunan idea tersebut, setiap ahli digalakkan untuk membaca dan menyemak hasil tugasan mereka agar tugasan mereka mantap dan bermakna.

2.1.2 Aplikasi Kaedah Pengajaran Secara Perbincangan Dalam Subjek Bahasa Melayu Tahun 6.

Kaedah perbincangan kumpulan amat bersesuaian diaplikasikan dalam P&P bagi mata pelajaran bahasa Melayu terutamanya dalam bahasa Melayu penulisan untuk murid Tahun 6 di bawah tajuk penulisan karangan yang bertemakan isu alam sekitar.

Guru akan memulakan sesi pengajaran dengan memberikan set induksi yang dapat menarik minat murid-murid untuk meneruskan aktiviti P&P. Contohnya, selepas memberi salam, guru meminta murid-murid memeriksa sampah di bawah kerusi masing-masing dan meminta mereka mencuci dan membuang sampah yang berdekatan dengan mereka. Selepas itu, guru mengucapkan tahniah dan memberikan pujian kepada murid-murid atas kesudian mereka membuang sampah tersebut.

Kesannya, emosi murid akan berada dalam gembira dan bersemangat untuk meneruskan P&P. Menurut teori pelaziman klasik J.B. Watson (1878-1958) dalam Noriati (2009), emosi kanak-kanak dapat dibentuk melalui proses pelaziman. Jadi, pembentukan emosi yang positif sebelum memulakan P&P amatlah penting bagi memastikan murid-murid bersedia untuk meneruskan pembelajaran.

Seterusnya, guru mengaitkan perbuatan murid tadi dengan kepentingan menjaga alam sekitar serta menceritakan senario yang berlaku di Malaysia tentang masalah pencemaran alam sekitar.
Kemudian, guru membentuk beberapa kumpulan kecil. Katakan guru membentuk 6 kumpulan kecil iaitu kumpulan A,B,C,D,E dan F. Setiap kumpulan perlu melantik seorang ketua kumpulan. Guru juga digalakkan untuk memilih ketua kumpulan kerana guru lebih tahu akan kebolehan murid-muridnya. Pembentukan kumpulan boleh dibuat melalui bulan kelahiran, saiz kasut, dan sebagainya.

Setiap ketua kumpulan diminta mengambil kad soalan daripada guru. Sebanyak tiga soalan yang berbeza dikemukakan dan ini bermakna dua kumpulan akan mendapat soalan yang sama.
Selain itu, guru juga membekalkan sehelai kertas mahjong dan dua batang ‘marker pen’ bagi setiap kumpulan. Mereka akan mencatatkan segala isi perbincangan di atas kertas mah-jong tersebut dengan menggunakan pengurusan grafik seperti peta minda, jadual, carta alir dan sebagainya.

Dalam kad soalan tersebut, murid-murid dikehendaki membincangkan tentang punca-punca pencemaran, kesan-kesan pencemaran dan langkah-langkah yang yang perlu diambil bagi menangani masalah tersebut. Dalam kumpulan tersebut, murid-murid perlu menyumbangkan idea masing-masing. Mereka boleh menggunakan teknik Meja Bulat atau Putaran Giliran. Bagi memudahkan perbincangan kumpulan, guru boleh menetapkan teknik yang akan digunakan oleh setiap kumpulan.

Apabila murid berbincang dan mengemukakan idea, mereka biasanya akan mengeluarkan pendapat mereka berdasarkan pengalaman dan pengetahuan sedia ada mereka. Hal ini berkait rapat dengan teori pembelajaran konstruktivisme yang dipelopori oleh Jean piaget (yang dikenali sebagai Konstruktivisme psikologi/ individu/kognitif/kognitif)dan Lev Vygotsky (yang dikenali sebagai konstruktivisme sosial).

Menurut Lev Vygotsky dalam dalam Noriati (2009), dalam sesi perbincangan, hubungan sosial berjaya diwujudkan seterusnya individu saling membina pengetahuan baru. Penglibatan dengan orang lain member peluang kepada murid untuk menilai dan meningkatkan pengetahuan diri.

Ketika sesi perbincangan, guru perlu bergerak dari satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain untuk menegaskan perkara-perkara yang perlu dibincangkan dan mengarahkan perbincangan sentiasa menghala ke arah perkara yang betul. Dengan kata lain, guru bertindak sebagai fasilitator untuk membantu dan membimbing murid-murid untuk mengeluarkan idea masing-masing.

Guru perlu menetapkan masa perbincangan kumpulan bagi memastikan mereka tidak melakukan perbincangan dengan main-main dan berbual tentang perkara-perkara yang tidak berkaitan. Setelah tamat perbincangan guru hendaklah meminta setiap kumpulan untuk melaporkan isi-isi perbincangan. Guru memberi peneguhan positif melalui pujian kepada semua murid kerana memberikan komitmen sepenuhnya dalam perbincangan.

Peneguhan yang diberikan oleh guru ini termasuk dalam teori pelaziman operan B.F. Skinner. Mengikut Skinner, peneguhan boleh dibahagikan kepada dua iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif. Menurut Baldwin dan Baldwin (2001) dalam Noriati (2009), peneguhan positif menjadi rangsangan kepada tingkah laku seterusnya manakala peneguhan negatif ialah peneguhan yang diberikan memungkinkan tingkah laku diteruskan apabila rangsangan yang tidak selesa disingkirkan.

Hasil perbincangan boleh dicatatkan di papan tulis. Guru perlu membuat perbincangan semula dengan murid-murid bagi memilih isi-isi dan idea-idea yang bernas. Bagi mengakhiri P&P ini, guru mengarahkan murid-murid untuk menjalankan aktiviti penulisan karangan berdasarkan isi-isi yang telah dibincangkan. Murid boleh menyiapkan esei ini di rumah dan perlu dihantarkan pada keesokan harinya.

2.2 IMPLIKASI KAEDAH PENGAJARAN DENGAN PEMBELAJARAN

Kaedah ini memberi impak yang amat baik terhadap perkembangan pendidikan masa kini. Hal ini demikian kerana, kaedah perbincangan ini menekankan aspek penglibatan murid berbanding kaedah tradisional yang berpusatkan guru.

Kaedah perbincangan ini dapat merangsang minda murid-murid. Melalui kaedah ini, murid akan berusaha untuk memberikan idea dan pandangan serta melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran. Dengan kata lain, kaedah ini dapat mengubah diri murid daripada pasif kepada lebih aktif. Penglibatan murid-murid secara aktif dalam proses pembelajaran membolehkan minda mereka berkembang.

Pembelajaran secara koperatif dapat meningkatkan kemahiran sosial antara murid. Mengikut pendapat Shahabuddin et.al.(2007), kaedah koperatif ini dapat memupuk sifat penyayang, kerjasama, hubungan yang erat antara murid dan sebagainya. Kaedah ini menggalakkan murid-murid mengajar sesama sendiri dan bantu-membantu antara satu sama lain dalam kumpulan seterusnya dapat mengukuhkan hubungan persahabatan antara murid-murid.
Selain itu, kaedah perbincangan membolehkan pelajar meningkatkan kefahaman dan berkeupayaan untuk menyelesaikan masalah. Hal ini demikian kerana, murid-murid akan cuba membuat perbincangan yang rapi dalam kumpulan mereka. Apabila semua murid memberikan pandangan, maka pemahaman mereka terhadap sesuatu topik yang dibincangkan akan meningkat dan memudahkan untuk mereka meyelesaikan sesuatu masalah.

Implikasi yang negatif dalam kaedah ini adalah disiplin sesetengah murid menjadi tidak terkawal semasa sesi perbincangan. Hal ini dapat mengganggu murid-murid yang lain yang memberi fokus kepada isi perbincangan.


3.0 STRATEGI PENGAJARAN BERASASKAN TUGASAN

Menurut Sharifah (1986), strategi pengajaran berasaskan tugasan telah dikemukakan oleh Professor William Heard Kilpatrick ( 1871-1965 ) yang mana telah diubah suai daripada kaedah penyelesaian masalah John Dewey. Strategi ini merupakan suatu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang pesat berkembang dalam zaman moden ini.

Noriati (2009) menjelaskan bahawa dalam strategi ini, guru melibatkan murid dalam aktiviti atau tugasan yang memberikan mereka peluang untuk mengaplikasikan apa-apa yang dipelajari. Dalam menghasilkan aktiviti menggunakan strategi ini, guru perlu mengambil kira beberapa kriteria. Pertama, aktiviti yang dipilih mesti berfokus kepada matlamat utama topik yang ingin diajar. Kedua, guru perlu mempelbagaikan aktiviti berdasarkan matlamat pengajaran. Ketiga, guru hendaklah memastikan aktiviti yang dirancang membuka ruang dan peluang kepada murid untuk berinteraksi dan membuat refleksi. Keempat, guru perlu memastikan setiap aktiviti perlu dipersembahkan dan dipantau bagi menghasilkan P&P yang berkesan.

Kajian John Brodi (2008) menunjukkan strategi pengajaran berasaskan tugasan mampu meningkatkan keyakinan dan motivasi murid seterusnya menjadikan murid lebih aktif dalam P&P. Bagi menjadikan proses P&P lebih bermakna, guru perlu menegaskan tujuan-tujuan dan objektif-objektif pembelajaran berdasarkan aktiviti yang bakal dilakukan supaya murid-murid dapat melibatkan diri dalam aktiviti tersebut. Apabila murid mula melaksanakan aktiviti dan tugasan, guru boleh memantau kemajuan dan member bantuan jika perlu. Di akhir tugasan, guru perlu membuat sesi perbincangan dan refleksi dengan murid tentang tugasan yang telah dijalankan.


3.1 KAEDAH PENGAJARAN YANG BERSESUAIAN DENGAN STRATEGI PENGAJARAN BERASASKAN TUGASAN SERTA TEORI-TEORI YANG BERKAITAN

3.1.1 Kaedah Simulasi

Kaedah simulasi adalah sesuai digunakan dalam P&P berteraskan strategi pengajaran berasaskan tugasan. Simulasi merupakan satu gambaran abstrak sesuatu situasi sebenar yang memerlukan pelajar berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan masing-masing untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau isu. Ia merupakan satu situasi yang diwujudkan untuk menyerupai keadaan sebenar dengan cara menggunakan masalah-masalah yang benar-benar wujud atau menyediakan situasi-situasi yang benar-benar wujud di dalam keadaan yang terkawal.

Menurut Noriati (2009), untuk mencapai hasil pembelajaran, murid perlu melalui tugasan dalam simulasi serta membentuk konsep dan kemahiran yang diperlukan dalam pencapaian sesuatu aspek atau bidang.

Terdapat beberapa ciri kaedah simulasi. Pertama, simulasi merupakan satu pembelajaran melalui pengalaman. Murid belajar daripada kesilapan dan berpeluang untuk meningkatkan diri dalam situasi yang berikutnya. Kedua, dalam kaedah simulasi, peranan murid agak luas, kerana peserta bukan sahaja dikehendaki memegang peranan sebagaimana yang ditentukan tetapi mereka perlu berbincang dan memberi sumbangan kepada perserta-perserta bagi membuat keputusan. Ketiga, murid dikehendaki berinteraksi secara dinamis dalam sistem yang berkaitan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Menurut Joyce et al. (2002) dalam Noriati (2009), model simulasi mengandungi empat fasa iaitu orientasi, latihan peserta, proses simulasi dan perbincangan. Fasa orientasi merupakan fasa guru mengemukakan topik yang ingin diajar, menerangkan konsep dalam simulasi serta memberikan gambaran umum tentang aktiviti dalam simulasi.

Dalam fasa kedua, murid akan diperkenalkan tentang peraturan, peranan murid, prosedur, cara mendapat skor serta matlamat simulasi. Guru akan mengagihkan peranan kepada setiap murid supaya mereka mengetahui peranan mereka.

Murid-murid akan mula melakukan simulasi dalam fasa yang ketiga. Pada fasa ini, guru akan bertindak sebagai pengadil dan jurulatih. Guru juga boleh memberhentikan proses simulasi buat seketika bagi mendapatkan maklum balas daripada murid, menilai prestasi dan memperjelas salah tanggapan yang berlaku semasa proses simulasi.

Selepas murid-murid menjalankan proses simulasi, guru hendaklah membuat perbincangan bersama murid tentang hasil pembelajaran dan refleksi daripada hasil aktiviti yang telah dijalankan. Ini adalah merupakan fasa yang keempat.

3.1.2 Aplikasi Kaedah Simulasi Bagi Mengajar Subjek Bahasa Melayu Tahun 6.

Katakan seorang guru yang ingin mengajar subjek bahasa Melayu tahun 6 dalam tajuk penulisan karangan jenis cerita. Pertama, guru akan memberikan salam kepada murid-murid dan mengambil kedatangan murid-murid. Guru bertanyakan khabar dengan murid-murid dan meminta mereka bersedia untuk meneruskan pembelajaran.

Guru meminta semua murid untuk datang ke hadapan untuk mengambikkertas undian kumpulan yang terdiri daripada nombor 1 hingga 6. Kemudian, guru memberitahu murid supaya berada dalam kumpulan mengikut nombor yang mereka dapat. Cara pembahagian kumpulan ini membantu murid untuk berinteraksi antara satu sama lain bagi mencari ahli kumpulan masing-masing.

Kumpulan yang berjaya dibentuk dahulu diberi pujian dan hadiah oleh guru manakala kumpulan yang terakhir yang dapat dibentuk dikenakan denda untuk menyanyikan sebuah lagu. Melalui cara ini, murid akan bersemangat untuk meneruskan pembelajaran. Peneguhan dan hukuman yang diberikan oleh guru ini amat berkait rapat dengan teori pelaziman operan B.F. Skinner. Dalam teori Skinner, peneguhan dibahagikan kepada dua iaitu peneguhan positif dan negatif. Hukuman juga dibahagikan kepada dua iaitu hukuman beri dan hukuman tarik.

Hukuman beri mengurangkan kemungkinan tingkah laku diulangi hasil daripada rangsangan yang diberikan manakala hukuman tarik mengurangkan kemungkinan tingkah laku diulangi hasil daripada rangsangan yang selesa ditarik balik (Noriati, 2009). Dalam kes tadi, kumpulan terakhir yang dapat dibentuk dikenakan hukuman beri iaitu mereka terpaksa menyanyikan sebuah lagu.

Proses pengajaran diteruskan dengan perlantikan seorang ketua bagi setiap kumpulan. Pemilihan ketua kumpulan adalah berdasarkan tarikh lahir. Murid yang paling tua automatik dilantik menjadi ketua. Kemudian, ketua kumpulan diminta untuk mencabut kad tugasan daripada guru. Dalam kad tersebut tercatat situasi-situasi yang perlu dilakonkan oleh murid bagi setiap kumpulan.

Dalam masa yang ditetapkan, murid-murid perlu berbincang antara ahli kumpulan tentang watak-watak yang yang diperlukan. Guru perlu memastikan semua murid terlibat dalam aktiviti perbincangan ini.

Kemudian, setiap kumpulan diminta melakonkan situasi-situasi yang dikehendaki dalam kad tugasan tadi dalam bentuk simulasi. Kumpulan yang tidak terlibat semasa simulasi dikehendaki mencatat idea-idea yang dikeluarkan oleh kumpulan yang melakukan simulasi. Proses ini diulang kepada kumpulan yang lain pula.

Selepas simulasi tamat, guru memberikan pujian bagi membangkitkan semangat murid-murid. Guru membuat refleksi bersama pelajar tentang aktiviti yang telah dijalankan.
Di akhir pengajaran, guru meminta murid menulis satu karangan berbentuk cerita berdasarkan mana-mana simulasi yang telah dilakukan oleh setiap kumpulan. Guru menetapkan supaya murid-murid menyiapkan tugasan ini di rumah dan murid dikehendaki menghantar karangan ini pada keesokan harinya.


3.2 IMPLIKASI KAEDAH PENGAJARAN DENGAN PEMBELAJARAN

Pertama, kaedah simulasi membolehkan murid menggunakan bahasa dengan lebih berfungsi dan memberi murid peluang berinteraksi dan berkomunikasi dengan berkesan. Hal ini demikian kerana dalam kaedah simulasi, semua murid perlu memberikan idea secara verbal.

Kedua, kaedah simulasi membantu pelajar bekerjasama dan menanamkan sikap positif. Kaedah simulasi membolehkan murid berbincang dan berfikir secara kreatif, analisis dan kritis.
Kaedah simulasi ini juga dapat membantu pelajar mempertingkatkan kemahiran mereka seperti kemahiran menjawab, dimana para pelajar akan memberi pendapat, cadangan, bantahan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah semasa dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

4.0 RUMUSAN

Dalam menghadapi arus globalisasi dalam dunia pendidikan ini, guru perlu bersiap sedia dengan ilmu pengetahuan dan mempelbagaikan strategi dan kaedah pengajaran bagi menjadikan suasana kelas lebih menarik seterusnya dapat menghasilkan P&P yang berkesan.

Strategi pengajaran yang berpusatkan murid perlu diberi keutamaan sewaktu menjalankan P&P agar murid-murid dapat melibatkan diri secara aktif. Kaedah perbincangan adalah sangat sesuai dijalankan kerana kaedah ini melibatkan semua murid untuk memberi pandangan dan idea seterusnya dapat membina hubungan sosial dalam kalangan murid.

Selain itu, strategi pengajaran berasaskan tugasan juga tidak boleh diabaikan. Hal ini demikian kerana strategi ini dapat member peluang kepada murid untuk mengaplikasi apa-apa yang dipelajari oleh mereka. Kaedah simulasi perlu dilaksanakan oleh guru bagi memberikan peluang kepada murid-murid untuk melakonkan mengikut situasi hampir sama dengan situasi yang sebenar. Di samping itu, kaedah simulasi dapat menjana kreativiti pemikiran murid dan memantapkan kemahiran berbahasa.

5.0 CADANGAN

Sebagai seorang guru, haruslah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan Oleh itu, perancangan guru seharusnya lebih kreatif dari segi mengadakan pelbagai kemudahan dan sumber rujukan supaya aktiviti P&P menjadi lebih bermakna dalam mendorong proses P&P menjadi lebih sempurna.

Dalam proses membentuk kumpulan, guru perlu mempelbagaikan cara untuk membahagikan kumpulan supaya murid-murid dapat merasai pengalaman bersama murid-murid yang lain.
Selain itu, guru perlu mengambil kira aspek kesesuaian tempat sekiranya ingin menjalankan kaedah simulasi agar murid-murid berasa selesa semasa mempersembahkan simulasi mereka.
Bagi memastikan disiplin murid sentiasa terkawal, guru hendaklah memberitahu murid supaya berbincang dalam keadaan yang tidak mengganggu murid-murid yang lain sebelum mengarahkan murid melakukan sesuatu aktiviti. Sekiranya murid masih dalam keadaan bising, guru perlu bertindak cepat untuk member amaran kepada murid yang membuat bising.

RUJUKAN

Jurnal :

Mohamad Johdi Hj. Salleh (2007). Guru Efektif dan Peranan Guru dalam Mencapai Objektif Persekolahan Sekolah Rendah: Perspektif Guru Besar : Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang.

John Brodi (2009). Pelaksanaan Pembelajaran Berasaskan Projek: Satu Kajian Kes Teaching School,IPTAR : Jabatan Ilmu Pendidikan, IPTAR

Buku :

Abd. Ghafar M.D (2003). Prinsip dan Amalan Pengajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Esah Sulaiman (2003). Modul Pengajaran: Asas Pedagogi. Skudai, Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia.

Shahabuddin Hashim,Dr.Rohizani Yaakub & Mohd.Zohir Ahmad. (2007). Pedagogi: Strategi dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. Kuala Lumpur : PTS Professional Publishing Sdn.Bhd.

Noriati A. Rashid,Boon Pong Ying dan Sharifah Fakhriah .(2009). Murid dan Alam Belajar.Shah Alam:Oxford Fajar Sdn Bhd.

Sharifah Alwiyah Alsagoff (1983). Ilmu Pendidikan : Pedagogi (edisi pertama). Kuala Lumpur : Heinemann (Malaysia) Sdn. Bhd.

Syed Ismail & Ahmad Subki (2008). Budaya dan Pembelajaran. Penerbit Multimedia Sdn. Bhd.

Kementerian Pelajaran Malaysia (2006). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Kuala Lumpur.

Choong Lean Keow. (2009). Falsafah Dan Pendidikan Di Malaysia Untuk Kursus Perguruan Pendidikan Rendah Pengajian Empat Tahun. Subang Jaya : Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.

Internet :

Amaljaya. (2009, May 06). Teaching Strategies. Retrieved Ogos 24, 2010, from Info Pendidik Guru: http://amaljaya.com/guru/2009/05/06/teaching-strategies/